TERKINI: Mahathir datang bertemu Anwar di ibu pejabat PKR
Dr Mahathir Mohamad, Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal dan pemimpin tertinggi Pakatan Harapan sedang bermesyuarat di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, Selangor hari ini.
Ini kali pertama Mahathir dan Shafie berkunjung ke ibu pejabat PKR. PKR ditubuhkan pada tahun 1999, antaranya untuk mendesak Mahathir meletak jawatan sebagai perdana menteri ketika itu.
Ahli parlimen yang setia kepada Mahathir, Warisan dan PH dipercayai sedang merancang untuk membentuk kerajaan baru.
Sejauh ini telah berlaku serangkaian pertemuan antara pelbagai pihak tetapi perbincangan dipercayai masih menemui jalan buntu.
Sebelum itu, menurut Maszlee Malik dalam satu kenyataannya hari ini beliau yakin, semua orang tahu dan sedar tentang pergelutan dalaman Pakatan Harapan (PH) berkaitan janji peralihan kuasa. Ia telah menjadi bualan terbuka dan sekali gus merosakkan imej PH.
"Kesannya besar. Ia mewujudkan defisit kepercayaan oleh rakyat kerana - percayalah - rakyat secara majoritinya mahu melihat pemimpin yang mengutamakan negara berbanding cita-cita peribadi."ujar Maszlee
"Rakyat mahukan pemimpin yang terus fokus bekerja dan berkhidmat untuk negara dan rakyat. Itu sahaja.
"Mahu tidak mahu, dua tokoh besar PH iaitu Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim perlu segera mencari cara untuk memperbaharui gandingan mantap mereka dengan melupakan segala kemelut masa lalu.
"Kedua-dua tokoh ini tidak asing dalam landskap politik Malaysia. Kedua-duanya mempunyai kekuatan masing-masing. Sekarang, hayat PH sangat bergantung kepada kedua-dua tokoh ini.
"Jika tidak, PH akan terus menjadi pembangkang sampai bila-bila."ujar Maszlee.
[berita lanjut menyusul]
-Tun Carlos