Dr Mahathir Mohamad menolak cadangan Presiden PKR Anwar Ibrahim untuk beliau dilantik ke satu jawatan khas dalam kabinet, dan bukannya perdana menteri, jika PH Plus berjaya merampas semula kerajaan persekutuan.
Ia selepas PKR bertegas agar Anwar yang dicalonkan sebagai perdana menteri manakala Mahathir menjadi menteri mentor atau kedudukan yang seumpama dengannya, seperti Singapura di mana bekas perdana menteri dilantik ke kedudukan sebagai penasihat kerajaan.
"Tidak, saya tak akan terima," kata Mahathir seperti dipetik dalam wawancara dengan Sin Chew Daily.
"Berdasarkan pengalaman saya, apabila saya cuba beri nasihat kepada perdana menteri, mereka akan tolak atau enggan dengar, seperti Abdullah Ahmad Badawi, Najib Razak dan kini Muhyiddin Yassin.
"Perdana menteri ingin tunjukkan yang dia yang berkuasa (in charge) dan semua idea datang daripadanya. Dia ingin meninggalkan legasi politik.
"Dia tak boleh kata legasi politiknya datang daripada Mahathir," kata ahli politik berusia 94 tahun itu.
Dalam wawancara bersama Channel News Asia, Anwar bertegas bahawa Mahathir tidak seharusnya menjadi perdana menteri buat kali ketiga.
Bagaimanapun anggota Parlimen Port Dickson itu berkata beliau terbuka untuk Mahathir dilantik ke jawatan senior dalam kabinet.
"Pada pandangan saya beliau (Mahathir) sudah menjadi perdana menteri dua kali. Sudah masanya untuk kita melangkah ke depan.
"Saya tegaskan bahawa ia bukan isu personaliti. Ia adalah mengenai peluang untuk pemulaan baru untuk negara ini. Malaysia berhak mendapat yang lebih baik. (Ada) begitu banyak kekecewaan politik sekarang," katanya. seperti dipetik.
Mahathir menjadi perdana menteri keempat pada Julai 1981 hingga Oktober 2003, dan perdana menteri ketujuh pada Mei 2018 hingga Mac 2020.
Mahathir dan Anwar, yang saling memerlukan untuk membentuk majoriti di Dewan Rakyat, kini berada dalam kebuntuan berhubung siapa yang menjadi perdana menteri jika usaha PH Plus itu berjaya.
Kerajaan PH runtuh pada akhir Februari apabila Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin membawa keluar parti itu daripada gabungan.
Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada 1 Mac selepas Mahathir enggan mengetuai gabungan baru melibatkan Bersatu, bekas anggota Parlimen PKR, BN, PAS, GPS, PBS dan Star. -MKini
BACA: Anwar cadang Tun M jadi Menteri Mentor