Umno dan tiga pihak yang lain memperoleh semula RM194 juta sementara menunggu rayuan pihak pendakwaan berhubung saman melucut hak wang daripada mereka.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini menolak permohonan pihak pendakwaan untuk menangguhkan keputusan mahkamah yang sebelumnya menolak saman pelucutan hak terhadap Umno, Wanita MCA, Perano Sdn Bhd dan Binsabi Sdn Bhd.
Pada 7 Februari, mahkamah menolak saman pelucutan hak oleh kerajaan terhadap Umno, Wanita MCA, Perano dan Binsabi untuk mendapatkan wang berjumlah RM194 juta yang didakwa dari 1MDB.
Pihak pendakwaan menuntut melucutkan wang RM192 juta daripada Umno, RM300,000 daripada Wanita MCA, RM337,634,78 daripada Perano dan RM777,250 daripada Binsabi.
Namun, pihak pendakwaan memohon penangguhan bagi mengelakkan wang tersebut dikembalikan kepada keempat-empat responden, sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan.
Permohonan itu kemudian dijadualkan untuk didengar hari ini.
Ketika menyampaikan keputusan hari ini, Hakim Mohamed Zaini Mazlan berkata mahkamah menolak permohonan penangguhan tersebut kerana pihak pendakwaan gagal menunjukkan keadaan khusus untuk menjamin penangguhan.
Beliau kemudian memberitahu timbalan pendakwa raya (DPP) Mahadi Abdul Jumaat bahawa pihak pendakwaan sekarang boleh menulis surat kepada Mahkamah Rayuan untuk meminta penangguhan keputusan Mahkamah Tinggi itu.
Keputusan Zaini dibuat setelah satu setengah jam hujahan oleh pihak pendakwaan yang diketuai oleh Samihah Rhazali dan peguam bagi keempat-empat responden.
Peguam Hariharan Tara Singh, Ben Chan, Mohd Khalil Tajuddin dan Habizan Rahman mewakili Umno, Wanita MCA, Binsabi dan Perano.
Binsabi adalah firma pengurusan acara, manakala Perano adalah anak syarikat firma tekstil, Jakel Trading.
Sejurus keputusan dibuat, peguam empat responden tersebut meminta penjelasan daripada Zaini mengenai apakah mahkamah akan mengeluarkan perintah yang menyatakan wang tersebut akan segera dikembalikan kepada responden.
Habizan memberitahu mahkamah bahawa perkara itu perlu kerana biasanya bank tidak mahu melepaskan wang berkenaan kecuali terdapat surat dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang membenarkannya.
Namun, Zaini berkata beliau tidak boleh masuk campur dalam proses pentadbiran tertentu.
Ketika ditemui selepas prosiding hari ini, timbalan pendakwa raya Mahadi Abdul Jumaat berkata keputusan hari ini bukan bermaksud Umno dan tiga yang lain akan mendapatkan wang berkenaan serta merta.
Beliau berkata ada beberapa proses pentadbiran yang harus dilakukan sebelum perkara itu berlaku.
Sementara itu mengenai apakah pihak pendakwaan akan memohon rayuan berhubung keputusan hari ini, Samihah berkata mereka akan berbincang dengan Peguam Negara terlebih dahulu mengenai hal ini. -MKini