Wad perempuan Hospital Sultanah Aminah terbakar
Dimaklumkan satu kebakaran telah berlaku di Wad Perubatan Perempuan 1, Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru (HSAJB) pada jam 2.50 petang, 28 Jun 2020. Tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan serius dilaporkan.
Kejadian ini disedari oleh kakitangan serta waris yang berada di kawasan berkenaan pada jam 2:50 petang.
Pasukan Emergency Response Team (ERT) HSAJB telah memulakan usaha memadam api. Pihak BOMBA yang telah tiba di tempat kejadian pada jam lebih kurang 3.13 petang. Api berjaya dipadamkan pada kira-kira jam 3.17 petang.
Wad Perubatan ini adalah di bangunan satu tingkat di hadapan kawasan parkir, dan bukan merupakan bangunan induk.
Pesakit dan waris telah dipindahkan ke lokasi lain untuk sementara waktu atas faktor keselamatan dan bagi memastikan kelangsungan perkhidmatan serta rawatan pesakit dapat diteruskan.
Perkhidmatan di HSAJB tidak terjejeas dan masih diteruskan seperti biasa.
Sejumlah video dan gambar kebakaran di media sosial menunjukkan sekurang-kurangnya tiga trak bomba telah dikerahkan ke sana, sementara jururawat menjaga pesakit yang dibawa keluar.
Mengesahkan perkara itu, Menteri Kesihatan Dr Adham Baba dipetik Bernama berkata 24 pesakit yang berada di wad berkenaan, berjaya diselamatkan.
Ditemui pemberita di lokasi kejadian, beliau menjelaskan pada mulanya kebakaran adalah kecil dan dapat diatasi oleh Pasukan Respons Kecemasan (ERT) yang dilatih untuk memadamkan kebakaran, namun ia merebak semula.
“Pihak bomba yang sampai ke tempat kejadian dalam masa lima minit kemudian yang berjaya memadamkan sepenuhnya kebakaran 10 minit kemudian,” katanya.
Menurut Dr Adham, sepuluh daripada 24 pesakit telah dipindahkan ke Hospital Permai manakala selebihnya diletakkan di wad lain di HSA.
Dalam pada itu, Dr Adham meminta waris pesakit yang terlibat untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung perkara itu daripada pihak hospital.
Katanya, punca kebakaran masih lagi disiasat oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor yang menjalankan kerja-kerja forensik.
Dr Adham juga diminta mengulas sama ada punca kebakaran kemungkinan sama dengan kejadian kebakaran pada Oktober 2016.
Menjawab soalan itu, Dr Adham berkata: "Kita akan tunggu laporan forensik bomba untuk pastikan sama ada ia similar (sama) dengan yang dahulu (kejadian kebakaran Oktober 2016) atau baru.
"Kita akan pastikan segala siasatan dilengkapkan terlebih dahulu.
"Dalam masa sama, kompleks (bangunan) wad ini juga akan ditutup sehingga dibenarkan oleh pihak bomba dan Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri untuk dibuka bagi memastikan ianya selamat,” katanya.
Ditanya sama ada kementerian akan memeriksa semula keseluruhan bangunan HSA susulan terdapat kebimbangan bahawa akan berlaku lagi kebakaran di masa mendatang, Dr Adham berkata pihaknya akan melihat perkara itu.
“Seluruh situasi ini kita akan siasat dan juga akan pastikan lepas ini, ada pergerakan memperbaiki atau menambah baik (hospital),” katanya.
-MalaysiaKini/Tun Carlos
Menteri Kesihatan tiba di tempat kebakaran |