Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

DAP tak sekuat Parti Komunis Malaya -Mahathir


PARLIMEN | Dr Mahathir Mohamad sekali lagi mempertahankan parti DAP dengan berkata bahawa dakwaan DAP akan menghancurkan orang Melayu adalah taktik pihak pembangkang pada zaman kerajaan Pakatan Harapan (PH) bagi membolehkan Najib Razak kembali menjadi kerajaan.

Berucap dalam sesi perbahasan untuk menjunjung kasih ke atas titah Yang di-Pertuan Agong hari ini, Mahathir berkata Najib memang berharap apabila menjadi kerajaan, peguam negara yang baru akan mendakwa tiada kes pada anggota parlimen Pekan itu.

Dalam usaha menjadi kerajaan semula, kata Mahathir, Najib membuat dakwaan kononnnya DAP akan menghancurkan orang Melayu jika parti itu - bersama PH - terus menjadi kerajaan.


"Dakwaan ini tak ada asas sama sekali. Ia hanya bertujuan menakut-nakutkan orang Melayu supaya menolak kerajaan PH.

"Sebenarnya DAP tak mampu menghancurkan orang Melayu," kata beliau.

DAP adalah sebahagian daripada komponen PH yang mendapat mandat untuk menjadi kerajaan pada pilihan raya umum (PRU) dua tahun lalu. Selain DAP, PH dianggotai PKR, Amanah dan Bersatu.

Semasa PH menjadi kerajaan, antara hujah yang sering digunakan pembangkang ialah dakwaan DAP menguasai kerajaan, orang Melayu dan Islam terancam serta Mahathir menjadi boneka kepada parti berkenaan.


Kata Dr Mahathir pada zaman PH, menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal keselamatan ialah Muhyiddin.

Sebagai Menteri Dalam Negeri, kata Mahathir, Muhyiddin tahu ancaman DAP - jika ada - boleh diatasi dengan mudah iaitu melalui pembatalan pendaftaran parti berkenaan.

"Menteri Dalam Negeri tahu dan sedar, dengan hanya membatalkan pendaftaran DAP, maka lumpuh dan hilanglah DAP.

"Cancel (batalkan) saja dia punya registration (pendaftaran), habis dia," katanya.

Justeru kata anggota parlimen Langkawi itu, yang terdedah kepada kehancuran bukanlah orang Melayu seperti yang didakwa pembangkang suatu masa dulu, tetapi DAP.


Menurutnya kerajaan pernah bertindak seperti itu ke atas Parti Komunis Malaya (PKM) dan ia dapat menghalang kumpulan terbabit untuk merampas kuasa.

"DAP pun bukan sekuat PKM. Tak mungkin DAP berjaya [...] PKM dengan gerakan bersenjatanya juga gagal," katanya.

Namun kata Mahathir "pembohongan" yang dibawa pembangkang pada masa itu berjaya mempengaruhi Muhyiddin dan beberapa pemimpin parti berkenaan sehingga mendorong mereka meninggalkan PH.

"Dengan itu saya pun terkeluar daripada menjadi perdana menteri kerajaan PH... Peletakkan jawatan oleh saya tak dapat dielak," katanya.



Dalam ucapan selama kira-kira 20 minit itu juga Mahathir mengkritik PN sebagai "kerajaan pintu belakang" beberapa kali.

Ia mendorong Bung Mokhar Radin (Umno-Kinabatangan) bertanya adalah kerajaan Sabah yang diterajui Warisan juga sebuah kerajaan pintu belakang.

"Saya berpendapat bahawa lompat-melompat ini terjadi banyak di Sabah. Pasal apa, saya tak tahu, tapi memang ini berlaku dahulu."ujar Bung

-MalaysiaKini