Hina Agong: Pemuda hampir rebah, dijatuhi hukuman penjara 9 bulan
KUALA LUMPUR - Seorang penganggur menggigil dan hampir rebah di kandang tertuduh selepas didenda RM27,000 atau sembilan bulan penjara oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan membuat hantaran jelik menggunakan profil Facebook palsu terhadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tiga bulan lalu.
Sahril Zainudin, 26, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim M M Edwin Paramjothy.
Hasil semakan dengan pihak mahkamah sehingga jam 5 petang tadi, Sahril masih belum membayar denda tersebut sekali gus menyebabkan dia dihantar ke Penjara Kajang.
Menerusi penghakimannya, Edwin berkata, mahkamah mengambil kira bahasa yang digunakan adalah keterlaluan dan menjatuhkan Agong sebagai Raja Berperlembagaan.
“Bagi pertuduhan kedua, tindakan OKS dengan niat untuk menganiaya seorang wanita iaitu dengan mewujudkan akaun palsu menggunakan nama pemilik asal FB Puan Linda (Fatin Aslinda Abu Talib, 33) menyebabkan dia menerima ugutan culik dan rogol oleh pelayar FB yang tidak dikenali,” katanya.
Mengikut pertuduhan pertama, Sahril selaku Orang Kena Saman (OKS), didakwa secara sedar membuat penghantaran itu dengan menggunakan perkhidmatan komunikasi yang jelik sifatnya.
Dia didakwa membuat hantaran menerusi perkhidmatan FB atas nama Puan Linda secara sedar, didakwa dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.
Hantaran jelik berkenaan dibaca pada jam 1.05 petang, 2 Mac lalu di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta yang sama.
Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau dipenjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya dan hendaklah dikenakan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Sementara pertuduhan kedua, OKS membuat kenyataan berkenaan dengan niat mungkin menyebabkan kegentaran kepada awam.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Kesalahan didakwa dilakukan pada jam 29 Februari hingga 1 Mac lalu.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Annur Atiqah Abd Hadi memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pengajaran serta tegas kerana tindakan tertuduh bukan sahaja bertentangan dengan Rukun Negara malah tindakannya mengganggu penama dibuat atas dasar peribadi adalah tidak boleh diterima.
“Tertuduh menggunakan nama orang lain untuk membuat hantaran dan secara tidak langsung menyebabkan siasatan polis diambil terhadap individu berkenaan.
“Namun hasil risikan polis, tertuduh yang sebenar dapat dikenal pasti, maka saya mohon hukuman pengajaran dijatuhkan agar tiada sesiapa berani menyalah gunakan undang-undang untuk kepentingan diri,” katanya.
Bagaimanapun, Sahril yang tidak diwakili peguam, merayu agar dijatuhkan hukuman minimum kerana baru sahaja diberhentikan kerja selepas penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Saya mohon agar mahkamah mengurangkan hukuman saya kerana saya perlu menanggung ibu bapa dan adik yang masih bersekolah,” katanya.
Mahkamah menjatuhkan hukuman RM9,000 atau tiga bulan penjara bagi pertuduhan pertama manakala denda RM18,000 atau enam bulan penjara bagi pertuduhan kedua. -SinarHarian