Hina Jata Negara: Fahmi Reza "koyak" bila youtuber buat reaksi terhapnya, ugut mahu saman
Fahmi Reza akan mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang youtuber yang mendakwanya sebagai pereka kulit buku yang didakwa menghina jata negara.
Pereka grafik kontroversi itu berkata dia akan mendapatkan peguam.
“Aku nak bagitahu aku dah tengok video kamu dan aku akan dapatkan peguam.
“Kamu pun patut buat demikian,” katanya.
Fahmi merujuk kepada satu video di channel Youtube "Donivia Channel" yang mengaitkannya dengan karya itu bertajuk “Melampau! Jata negara dipermainkan Fahmi Reza”.
Ketika itu, kata Fahmi, video itu ditonton lebih 25,000 kali di saluran yang mempunya lebih 130,000 pelanggan.
Menulis di Twitter, Fahmi meminta orang ramai tidak menyebarkan maklumat yang mendakwa dia sebagai pereka kulit buku itu.
“Aku dah kata jangan sebar fakta yang tak benar pasal aku,” katanya.
“Fakta: Aku bukan perekanya.”
Dalam video berkenaan, youtuber berkenaan mendakwa Fahmi, yang menurutnya seorang “influencer kontroversi”, merupakan individu yang bertanggungjawab mereka karya yang digunakan sebagai kulit buku berkenaan.
“Masalah design kau pula bukan inspirasi tapi kau terapkan unsur-unsur yang nampak seolah-olah macam kau menghina wei. Yang jadi persoalan sekarang ni kenapa kau nak provoke sampai kau main-mainkan lambang negara?
“Kau nak parodikan orang politik, silakan lantak engkaulah Tapi kalau dah sampai tahap macam ni aku rasa ni dah terlebih kurang ajar tau.
“[...] Seriuslah aku confirm menyirap kalau dengar nama Fahmi ni. Aku tahu dia takkan tengok video ni tapi kalau kau tengok bro, aku doakan supaya engkau berubah dan jadi manusia yang berakhlak baik bro,” katanya lagi.
Sebelum ini, Fahmi berkata imej kulit buku itu berdasarkan lukisan cat minyak yang pernah dipamerkan secara terbuka enam tahun lalu, ketika era pentadbiran BN.
Youtuber bidas kenyataan Fahmi
Setelah Fahmi Reza membuat posting tersebut, youtuber itu juga telah memuatnaik videonya yang terbaru di channel youtube beliau bagi membalas kenyataan Fahmi yang ingin menyamannya.
Beliau meminta Fahmi Reza merujuk artikel daripada Sinar Harian yang mula-mula melaporkan bahawa Fahmi Reza adalah pereka imej tersebut.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) kelmarin mewartakan larangan terhadap buku Rebirth: Reformasi, Resistance and Hope in New Malaysia susulan kontroversi mengenai imej pada kulit buku itu.
Buku itu dikatakan "dilarang secara mutlak di seluruh Malaysia" kerana dianggap "memudaratkan ketenteraman awam”.
Buku itu mengandungi koleksi tulisan mengenai pilihan raya umum 2018 dan peristiwa-peristiwa berikutnya yang disusun oleh editor Kean Wong dan diterbitkan oleh Strategic Information and Research Development Centre (SIRD).
Penggunaan lambang negara dilindungi oleh Akta Lambang dan Nama 1963 (Akta 414).
Seksyen 3 (1) akta itu antaranya melarang penggunaan lambang itu untuk tujuan perdagangan, perniagaan, pekerjaan atau profesion.
-Tun Carlos