POLIS menerima satu lagi laporan polis berhubung dokumentari bertajuk 'Locked Up in Malaysia's Lockdown' yang diterbitkan oleh media antarbangsa, Al Jazeera, hari ini.
Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, laporan itu dibuat oleh seorang individu di Balai Polis Presint 7 Putrajaya, hari ini.
"Sebelum ini, pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) ada membuat laporan berhubung perkara itu. Walaupun ada laporan baharu diterima, kami tidak membuka kertas siasatan baru sebaliknya merujuk laporan lama berkenaan.
"Kami juga sudah mengambil keterangan individu terbabit selepas laporan polis dibuat bagi membantu siasatan.
"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan atas kesalahan fitnah serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya ketika dihubungi, di Kuala Lumpur, hari ini.
Al Jazeera sebelum ini menyiarkan dokumentari bertajuk 'Locked Up in Malaysia's Lockdown' berdurasi 25 minit 50 saat yang mengecam layanan terhadap pendatang tanpa izin ketika Malaysia melaksanakan langkah menangani Covid-19.
Ketua Polis Negara sangkal laporan Al-Jazeera
Sementara itu menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, segala bentuk tindakan yang diambil terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara ini adalah atas keperluan keselamatan dan kesihatan negara.
Beliau berkata, semua negara di dunia tidak akan membiarkan PATI bebas tanpa kawalan terutama ketika berdepan wabak termasuk Covid-19.
Katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus membantu Jabatan Imigresen dalam menguatkuasakan Akta Imigresen 1959/1963.
"Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), PDRM juga akan terus melipatgandakan usaha mengawal sempadan darat dan laut daripada terus dibolosi oleh PATI dan dalam masa sama memastikan tiada penganiayaan terhadap PATI yang ditangkap,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau turut menegaskan laporan yang dikeluarkan oleh agensi berita tersebut yang mendakwa Malaysia melakukan diskriminasi terhadap PATI itu adalah tidak tepat dan siasatan lanjut sedang dijalankan oleh PDRM.
Hari ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, dakwaan AL-Jazeera itu adalah tidak berasas kerana Malaysia memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan untuk menyelamatkan orang ramai daripada Covid-19 tanpa mengira warganegara atau bukan warganegara.
BACA: Kerajaan Malaysia tuntut AL-Jazeera mohon maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia
BACA: Warga asing burukkan imej Malaysia akan diusir serta-merta -KP Imigresen
- Bernama/HMetro