Kakitangan AL-Jazeera hadir ke Bukit Aman, bawa 7 peguam
Enam kakitangan Al Jazeera dipanggil ke Bukit Aman pagi ini untuk diambil keterangan mereka berkaitan dengan episod dokumentari '101 East' yang menggambarkan penganiayaan terhadap pendatang tanpa izin oleh pihak berkuasa Malaysia semasa perintah kawalan pergerakan (PKP).
Difahamkan, enam kakitangan itu terdiri daripada penerbit, editor, wartawan dan jurukamera serta mereka yang terbabit dalam menerbitkan dokumentari kontroversi "Locked Up In Malaysia's Lockdown".
Semalam, polis memaklumkan memanggil empat saksi daripada pihak Al Jazeera untuk hadir memberi keterangan berhubung isu dokumentari berkenaan pada jam 10 pagi.
Bagaimananapun, enam kakitangan bersama tujuh peguam hadir ke Bukit Aman lebih awal hari ini daripada masa ditetapkan oleh pihak polis, dipercayai untuk mengelak liputan media
Hisyam juga merupakan peguam pembela bagi kes Banglo Lim Guan Eng yang mewakili Phang Li Koon, pemilik asal banglo tersebut.
Hisham Teh Poh Teik |
Antara yang dipanggil Bukit Aman termasuk wartawan Al Jazeera Drew Ambrose.
Lima yang lain turut terlibat dalam penghasilan dokumentari selama 25 minit itu.
Bercakap kepada pemberita di luar Bukit Aman, Hisham menekankan bahawa anak guamnya akan memberi kerjasama sepenuhnya dengan siasatan polis.
"Saya juga ingin memberitahu bahawa sebelum ini Al Jazeera juga telah menulis surat kepada menteri pertahanan mengenai episod ini, dan pada masa yang sama, mereka juga telah mengeluarkan kenyataan media," katanya.
Hisham juga membaca sebahagian daripada kenyataan Al-Jazeera yang menekankan komitmen organisasi media berpusat di Qatar itu untuk memastikan laporan yang adil dan tepat.
"Saya ingin menekankan bahagian tertentu untuk mengatakan anak guam kami membantah pendakwaan ini," katanya.
"Kami berharap setelah siasatan polis tidak akan melakukan tindakan apa pun setelah mendapat maklumat yang mereka perlukan," tambahnya.
Al-Jazeera pertahan dokumentari kontroversi
Pengurusan Al Jazeera malam tadi mengatakan pihaknya mempertahankan dokumentari kontroversi itu dan menyatakan kebimbangan terhadap gangguan yang dihadapi oleh kakitangannya susulan reaksi balas terhadap dokumentari tersebut.
Laporan itu merangkumi wawancara dengan migran, NGO, organisasi masyarakat sivil, dan persatuan perniagaan.
Laporan itu dikecam ramai pihak termasuk kerajaan yang menyangkal gambaran dokumentari itu dan menyatakan bahawa kerajaan menangani pentadatang tanpa izin berdasarkan undang-undang.
Hisyam enggan mengesahkan jumlah anak guam yang diwakilinya atas alasan keselamatan.
Dia juga mendedahkan bahawa laporan polis telah dibuat di balai polis Dang Wangi semalam atas isu keselamatan.
Sejak dokumentari itu mendapat perhatian, maklumat peribadi kakitangan Al-Jazeera disebarkan secara dalam talian, menimbulkan kebimbangan mengenai gangguan terhadap mereka.
Selain kakitangan Al-Jazeera, Jabatan Imigresen kini mengesan seorang migran yang diwawancara dalam dokumentari tersebut.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, sebelum ini dilaporkan berkata, laporan yang tidak berasas dan berat sebelah itu jelas menimbulkan kegusaran dan kebimbangan majoriti rakyat negara ini serta menimbulkan kemarahan pemimpin negara.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana menghasut, Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana menyiarkan berita fitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menyalahgunakan rangkaian perkhidmatan secara tidak wajar.
-Tun Carlos/Astro Awani