Keluarga Adib mahu saman polis, dakwa kenyataan Hamid Bador bercanggah
Keluarga Muhammad Adib Mohd Kassim akan mengambil tindakan sivil untuk menuntut ganti rugi atas dakwaan kegagalan dan kecuaian polis sehingga menyebabkan kematian anggota bomba itu.
Bapa allahyarham, Mohd Kassim Abdul Hamid, 64, berkata, kematian anaknya belum terbela, menyebabkan mereka sekeluarga bersedih walaupun reda dengan pemergian itu, lapor Harian Metro.
"Saya kehilangan anak tetapi kematiannya masih belum terbela, jadi saya mahu menuntut ganti rugi, kami sekeluarga sungguh kecewa dan tidak berpuas hati dengan kenyataan yang dikeluarkan Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.
"Saya berasa perkara ini pelik, bagaimana ketua polis negara membuat kenyataan bercanggah sedangkan Mahkamah Koroner sudah putuskan arwah meninggal dunia akibat perbuatan jenayah," beliau dipetik sebagai berkata ketika dihubungi di Alor Setar hari ini.
Dalam kenyataan Abdul Hamid sebelum ini memaklumkan pihaknya akan mencadangkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mewujudkan pasukan kajian semula bagi meneliti keterangan saksi berhubung kes Allahyarham Muhammad Adib.
Abdul Hamid berkata, ia susulan keterangan saksi yang diambil selepas Mahkamah Koroner memutuskan punca kematian Allahyarham adalah akibat perbuatan jenayah.
Menurutnya, bagaimanapun selepas pihak polis mengambil keterangan termasuk dua anggota bomba yang berada paling dekat dengan Allahyarham mereka konsisten mengatakan tidak nampak arwah ditarik keluar dan dipukul.
“Saya tidak ingin melengahkan, jika ada seorang saksi yang dapat meyakinkan kami bahawa dia nampak arwah Muhammad Adib ini ditarik, kami jalankan siasatan.
“Polis tidak bermain politik, saya inginkan kebenaran dan polis akan meneruskan siasatan serta saya ingin memuaskan hati semua pihak,” katanya.
-Tun Carlos