Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Kes conteng mural, polis dah ada petunjuk


Polis menemui beberapa petunjuk dikaitkan dengan dua wanita yang disyaki menconteng perkataan kurang menyenangkan pada mural gergasi potret beberapa pemimpin negara di Taman Cahaya Alam Seksyen U12, di Shah Alam, Isnin lalu.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Arjunaidi Mohamed, berkata berikutan itu pihaknya yakin kes berkenaan dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat.

"Buat masa ini kita tidak boleh cakap yang kita sudah kenal pasti suspek kerana kita masih siasat.



"Kita ada beberapa sasaran dan masih buat susulan tetapi kita ada juga petunjuk berhubung perkara itu. Polis akan teruskan siasatan (berdasarkan petunjuk berkenaan)," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau ditemui selepas menghadiri Mesyuarat Penyelarasan Jawatankuasa Bertindak bersama agensi dan jabatan kerajaan bagi projek inisiatif bersepadu menangani masalah penyalahgunaan dadah di Selangor.

Dalam kejadian Isnin lalu, perbuatan vandalisme ke atas mural gergasi potret beberapa pemimpin negara tersebut disedari seorang pekerja restoran di kawasan itu yang kebetulan melalui lokasi tersebut kira-kira jam 8 pagi.



Mural gergasi memaparkan potret Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah dan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang itu diconteng dengan perkataan kurang menyenangkan menggunakan cat merah.

- Bernama