Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Ku Li takut jenayah meningkat, desak PRU diadakan segera


Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, hari ini berpendapat pilihan raya umum (PRU) merupakan jalan keluar sebenar untuk menyelesaikan isu politik tidak stabil ketika ini.

Menurut ahli politik berpengalaman itu, ketika ini negara berdepan banyak masalah termasuk isu kehilangan kerja dalam kalangan rakyat, hilangnya keyakinan pelabur dan kemungkinan meningkatnya kadar jenayah.

Justeru beliau mempersoalkan sama ada kerajaan Perikatan Nasional mahu menunggu lebih lama - sehingga keadaan menjadi bertambah buruk - untuk mengadakan PRU ke-15.

"Apakah kita nak tunggu segala-galanya menjadi buruk baru nak mengadakan pilihan raya?


“Itu persoalan yang besar, serta takut jenayah meningkat kerana rakyat jadi jahat," katanya dipetik Harian Metro hari ini.

Tengku Razaleigh - yang lebih dikenali sebagai Ku Li - berkata demikian semasa ditemui mengadakan perjumpaan dengan ahli Umno di Gua Musang hari ini.

Bagaimanapun, Pengerusi Jemaah Penasihat Umno itu mengakui terpulang kepada Muhyiddin Yassin sekalu perdana menteri untuk membuat pertimbangan bila PRU perlu diadakan.

Kali terakhir PRU diadakan ialah pada 9 Mei 2018. Ia menyaksikan BN gagal mendapat mandat untuk terus menjadi kerajaan dan buat pertama kali gabungan itu menjadi pembangkang.


Saran beri jalan muka baru 

Pakatan Harapan (PH) berjaya menguasai Putrajaya dan sebahagian besar negeri.

Bagaimanapun melalui Langkah Sheraton kerajaan PH dijatuhkan dan BN kembali menjadi kerajaan dengan kerjasama sebahagian besar ahli parlimen Bersatu serta sekumpulan kecil bekas pemimpin kanan PKR.

Kata Tengku Razaleigh secara peribadi, beliau berpendapat rakyat harus diberikan pilihan menentukan kerajaan melalui PRU.

Menurut bekas menteri kewangan itu lagi, masalah yang dialami ketika ini timbul ekoran negara masih bergelut dengan dua isu utama yang belum menemui titik noktah, iaitu ketidakstabilan politik dan wabak Covid-19.


Ujarnya, beliau bimbang negara akan berdepan pengangguran tertinggi sehingga dua juta orang menjelang Oktober ini, selain pelabur pula hilang keyakinan kerana kerajaan sekarang yang mempunyai banyak kelemahan.

"Selagi berada dalam keadaan begini, maka selama itulah rakyat berdepan masalah khususnya berlaku pembuangan pekerja," katanya lagi.

Semalam, veteran Umno itu dilaporkan meminta dua orang kuat Umno - Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Najib Razak - supaya berkorban dengan memberikan laluan kepada orang lain dalam kepemimpinan parti, sekiranya mereka sayangkan orang Melayu.



““Beri jalan kepada orang lainlah," katanya yang menyifatkan kedua-dua tokoh Umno itu ‘cacat’ pada pandangan rakyat buat masa ini.

Pada awal bulan ini Tengku Razaleigh juga memberitahu Umno dan BN perlukan “muka baru yang bersih” serta berintegriti dalam PRU akan datang.

Muka-muka lama pula, katanya lagi, perlu sanggup melakukan pengorbanan.

-MalaysiaKini