Najib mahu kerajaan tambah hukuman penjara kepada individu ingkar kuarantin, ini sebabnya
ULASAN NAJIB: Antara isu penting dalam perbahasan saya di Dewan Rakyat petang tadi ialah keperluan untuk kerajaan mengawal kuarantin ke atas mereka yang tiba dari luar negara dengan lebih ketat.
Saya ingin menjelaskan lebih lanjut kenapa saya utamakan point ini.
Sama dengan kita, warga negara Australia telah melalui perintah berkurung yang ketat selama 2 bulan sebelum perintah kawalan itu dihapuskan pada bulan Mei setelah penularan Covid di sana diisytiharkan terkawal.
Malangnya tak sampai 2 bulan, kes baru Covid di negeri Victoria di Australia telah melonjak ke ratusan kes setiap hari.
Puncanya ialah kelemahan dan ketirisan yang berlaku dalam proses kuarantin ke atas mereka yang tiba atau pulang dari luar negara.
(sumber: https://www.bbc.com/news/world-australia-53259356 )
Akibatnya, perintah berkurung 2 bulan mereka telah tersia-sia kerana negeri Victoria terpaksa melaksanakan semula perintah berkurung 6 minggu lagi bermula minggu lepas.
Sebab itu, saya saran kerajaan kita untuk mengenakan hukum penjara ke atas mereka yang melanggar kuarantin.
Bukan sekadar mengenakan denda kompaun RM1,000 sahaja.
Mana mungkin mereka yang pulang dari luar negara akan takut dengan denda RM1,000 sahaja?
Dan kenapa denda langgar SOP PKP adalah RM1,000 dan melanggar kuarantin juga RM1,000 sedangkan kesan dari melanggar kuarantin adalah jauh lebih serious?
Malaysia perlu mengambil iktibar daripada pengajaran negara lain.
Kerajaan perlu menghantar isyarat tegas bahawa melanggar kuarantin adalah satu jenayah yang berat kerana ia mampu menjejaskan seluruh Rakyat dan ekonomi Malaysia.
Walaupun Covid dalam Malaysia agak terkawal pada masa ini, kita perlu sedar bahawa krisis Covid seluruh dunia masih dalam trend meningkat dengan jumlah kes baru pada minggu ini mencecah 200,000 orang sehari iaitu 10 kali ganda berbanding jumlah kes baru 20,000 seluruh dunia semasa kita memulakan PKP fasa pertama kita pada 18 Mac lalu.
sumber: FB Najib Razak