Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Najwan mengaku tidak bersalah bunuh 3 ekor kucing dalam mesin dobi


KUALA LUMPUR, 16 Julai -- Seorang penganggur yang tular di media sosial kerana meletakkan tiga ekor kucing di dalam mesin basuh di sebuah kedai dobi sehingga menyebabkan haiwan itu mati didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang di sini hari ini.

Muhammad Najwan Zulkefli, 24, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Syafeera Mohd Said.

Tertuduh didakwa dengan kejam atau secara tidak munasabah melakukan  perbuatan menyebabkan kesakitan atau penderitaan yang tidak sepatutnya kepada tiga ekor kucing di sebuah premis Dobi Layan Diri Atlantis, Blok 3, Desa 1 Apartment Desa Aman Puri, Kepong di sini antara 5 pagi hingga 6.30 pagi, pada 12 Julai lepas.


Lelaki itu dituduh mengikut Subseksyen 29 (1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 29(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak lebih daripada RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa N. Naageswara Rao daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor memohon tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia untuk mendapatkan pemerhatian lanjut memandangkan perwatakan tertuduh yang tidak stabil.

Muhammad Najwan yang tidak diwakili peguam tidak membuat rayuan. Mahkamah membenarkan tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia di Ulu Kinta Perak untuk pemeriksaan kesihatan selama sebulan dan menetapkan 13 Ogos untuk sebutan semula kes.

Turut hadir di mahkamah Presiden Persatuan Haiwan Malaysia Arie Dwi Andika.

BACA: PDRM siasat kes bunuh 3 ekor kucing dalam mesin dobi di Kepong

-- BERNAMA