MAYAT pemuda yang dilaporkan hilang selepas dipercayai dibaham buaya di Kampung Sungai Kalabakan sudah ditemui, hari ini.
Jasad mangsa yang dikenali sebagai Sukrien Jesman Yusoff, 24, ditemui penduduk kampung bersama pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada 11.03 pagi.
Ketua Balai, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Tawau, Penolong Kanan Penguasa Bomba Zulbada Alior berkata, operasi SAR yang memasuki hari kedua hari ini dimulakan pada 9.53 pagi.
Katanya, mayat mangsa ditemukan kira-kira dua kilometer daripada lokasi terakhir mangsa dilaporkan hilang selepas lebih sejam pencarian dilakukan.
"Ketika ditemukan, keadaan jasad mangsa tidak sempurna dengan kedua-dua tangan mangsa sehingga ke paras bahu didapati hilang disyaki dibaham buaya.
"Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut sebelum operasi ditamatkan kira-kira 12.11 tengah hari," katanya melalui kenyataan di Kalabakan, hari ini.
Sementara itu, bapa saudara mangsa, Abd Mansah Samat, 45, menggesa pihak berkaitan mengambil langkah sewajarnya dalam menangani ancaman serangan buaya di kampung mereka.
"Kes serangan buaya di kampung ini semakin menjadi-jadi dan membimbangkan. Ia semakin kerap muncul di sungai tanpa mengira masa samada pada waktu siang ataupun malam.
"Jika boleh, kami berharap Jabatan Hidupan Liar (JHL) dapat mengambil tindakan segera seperti memasang lebih banyak perangkap untuk menangkap buaya yang mengancam keselamatan dan nyawa penduduk kampung," katanya ketika dihubungi di sini. -MyMetro