RUU355: Memanglah dulu berapi sebab pembangkang -Tuan Ibrahim
Isu pelaksanaan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU355 yang hangat diperkatakan khususnya oleh Pakatan Harapan (PH) dengan pelbagai desakan disanggah Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man.
Ahli parlimen Kubang Kerian itu berkata, PAS yang menjadi sebahagian parti pemerintah tidak perlu lagi memainkan peranan untuk mendesak Kerajaan dalam sesuatu perkara sebaliknya hanya perlu mengemukakan cadangan.
Mengulas mengenai usul dalam mesyuarat agung PAS kawasan-kawasan katanya, banyak usul yang dikemukakan bersifat pembangkang sedangkan PAS kini adalah kerajaan.
"Saya tengok usul-usul semalam dan hari ini dari beberapa tempat, banyak usul bersifat pembangkang. Kita banyak usul bersifat pembangkang, mendesak, mendesak, mendesak. Mendesak siapa? Mendesak kerajaan. Kita desak kita.
"Dulu (kita) pembangkang tak apa kita desak kerajaan - sebab kerajaan itu bukan kita. Tapi sekarang kita kerajaan, kalau kita desak maknanya kita desak kita, kalau kita marah, kita marah kita.
"Maka selain mendesak pihak pemerintah, pendekatan mengemukakan cadangan apa yang patut kita buat sebagai kerajaan, apa yang patut kita buat.
"Contoh dalam isu RUU355, menjadi pembangkang mudah. Dalam parlimen mendesak usul gubal peraturan, RUU355 untuk dilaksanakan sebab (kita) pembangkang.
"Pembangkang tak perlu fikir perkara-perkara kaedah, sistem, peraturan-peraturan itu bukan kerja kita, itu kerja kerajaan," katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat agung PAS kawasan Temerloh, Pahang, hari ini.
Ucapan itu disiarkan secara langsung melalui Facebooknya.
Mengulas lanjut Tuan Ibrahim berkata, apabila menjadi kerajaan banyak perkara yang perlu dilakukan oleh PAS dalam usaha menjadikan RUU355 satu kenyataan.
Gaduh dengan pak cik jadi mertua
"Sekarang apabila kita jadi kerajaan, kita nak buat RUU355 kita kena buat mesyuarat dengan mufti-mufti, mesyuarat dengan Majlis Raja-Raja, kena bentang satu persatu kepada Raja-raja Melayu sebab urusan agama di bawah Raja-Raja.
"Kemudian kena pergi kepada majlis jawatankuasa agama Islam peringkat kebangsaan, (ada) prosedur-prosedur, kena jumpa peguam negara, kena bincang mekanisme perundangan, kena tengok perlembagaan, kena tengok undang-undang sedia ada, banyak kerjalah.
"Dulu suruh saja, tapi sekarang sebab kita kerajaan maka prosedur itu kita terpaksa tempuh sebab kita yang mengurus. Ada orang kata khususnya puak-puak PH duduk serang, di mana suara lantang PAS sebelum ini? Dulu berapi-api, memanglah dulu berapi sebab pembangkang, dulu berapi.
"Tapi kalau (sebagai) kerajaan kita berapi juga, berapi kepada siapa? Dulu kita bergaduh dengan pak cik itu sebab pak cik itu tak jadi bapa mertua kita. Tiba-tiba jadi pak mertua lainlah caranya. Apa khabar pak cik, smart hari ini, begitu," jelasnya.
Sehubungan itu beliau berpesan agar ahli dan penyokong PAS tidak terpengaruh dengan musuh yang desak supaya bersikap lantang dalam isu terbabit.
"Sekarang mereka bertindak demikian, ada pun kita sebagai kerajaan kaedahnya adalah duduk, runding dan kemukakan cadangan. Apa masalah dalam pelaksanaan, kitalah yang kena fikir," kata Tuan Ibrahim yang juga menteri alam sekitar dan air. -MalaysiaKini