Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

"Saya kenal Tun cukup lama, beliau akan bersama PN setelah jadi Bebas" -Annuar Musa



KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa melahirkan rasa lega ekoran keputusan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk kekal bersama Parti Warisan Sabah (Warisan) dan berada di blok bebas.

Selain Mahathir, lima lagi ahli Parlimen memilih untuk berada di blok bebas dalam dan luar Parlimen.

Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, dirinya cukup kenal dengan bekas Perdana Menteri itu dan yakin dengan keputusan Mahathir itu akan membuka ruang kepada sebarang kerjasama pada masa depan.

“Yang penting, mereka (Mahathir dan Warisan) bukan bersama pembangkang, bersama Pakatan Harapan (PH). Yang itu susah, sifatnya lain.


“Seperti yang kita semua tahu, sebenarnya bebas ini tidak pernah menggugat sebaliknya akan memainkan peranan. Saya beri contoh di Pilihan Raya Kecil (PRK) Chini, ada calon bebas tapi tidaklah menggugat.

“Saya mengalu-alukan keputusan ini. Ini sudah cukup baik ambil sikap jadi wakil rakyat bebas, itu hak mereka yang perlu kita semua hormati. Sekurang-kurangnya kita (kerajaan) akan ada ruang untuk bekerjasama,” katanya selepas majlis penyampaian watikah Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Annuar mengulas kenyataan bersama dengan lima Ahli Parlimen iaitu Mahathir, Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Jerlun), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar), Dr Maszlee Malik (Simpang Renggam), Datuk Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu), Datuk Shahruddin Md Salleh (Sri Gading) yang menegaskan mereka tidak bergabung dengan mana-mana gabungan baru-baru ini.

Mahathir turut mengulangi pendiriannya kekal menyokong Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai calon perdana menteri.


Katanya, walaupun Majlis Presiden PH menamakan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri namun keputusan itu tidak membabitkan beliau dan rakannya serta Warisan.

Kata Annuar lagi, beliau sudah sangat ‘biasa’ dan kenal sangat dengan sikap Mahathir untuk jangka masa yang begitu lama malah pernah bekerja dengannya ketika beliau menjawat jawatan Perdana Menteri ke-4.

“Saya percaya Tun tahu politik dan pendirian yang diambilnya. Saya tidak rasa pendirian beliau bak kata pepatah ‘berpatah arang, berkerat rotan’. Saya percaya dalam isu-isu nasional dan kepentingan rakyat, Tun akan bersama dengan kerajaan.

“Saya kenal Tun cukup lama, beliau mempunyai prinsip cukup kuat dalam perkara-perkara berkaitan rakyat. Saya gembira Tun ambil pendirian sebagai bebas. Susahlah jika Tun ambil pendirian bersama pembangkang.

“Bersyukur juga dengan beberapa wakil rakyat ambil pendirian serupa menjadi bebas, kita boleh berbeza pendapat tetapi masih boleh bekerjasama,” ujarnya. –MalaysiaGazette