Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini terpaksa meninggalkan Dewan Rakyat lebih awal kerana dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) untuk membantu penyiasatannya.
Meskipun tidak menyatakan secara khusus, ia dipercayai berkaitan sejumlah wang yang hilang dari peti besi di rumahnya hujung Mac lalu.
“Saya perlu meninggalkan Parlimen awal sedikit hari ini kerana telah dipanggil ke pejabat SPRM untuk membantu siasatan.
“Saya sedia dan sentiasa berikan kerjasama penuh dengan SPRM. Saya, ibu bapa dan seluruh ahli keluarga saya juga telah lama mengisytihar harta untuk menjamin ketelusan kami semua,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
https://www.facebook.com/syedsaddiqofficial/photos/a.1130739937005031/3091713870907618/?type=3
Pada 25 Mac, bekas menteri belia dan sukan itu membuat laporan polis berhubung kehilangan wang berjumlah RM250,000 dari perti besi di rumahnya.
Beberapa hari kemudian, beliau berkata sebahagian besar wang tunai yang dicuri dari kediamannya di Petaling Jaya itu adalah untuk pengubahsuaian rumah.
Beliau turut memaklumkan pecahan wang berkenaan, iaitu RM90,000 adalah miliknya, manakala RM50,000 milik ibunya dan RM70,000 milik bapanya.
“Saya sentiasa berlaku jujur dan berani kerana benar. Semoga urusan saya dan SPRM hari ini dipermudahkan,” katanya lagi dalam hantaran Facebook hari ini.
Sementara itu, peguamnya, Rafique Rashid Ali berkata dia berharap agar SPRM mengambil kira berkenaan sidang Dewan Rakyat ketika memanggil sesiapa untuk siasatan.
"Usul-usul penting akan dibahaskan termasuk salah satunya (usul) tidak percaya terhadap perdana menteri.
“SPRM mesti memahami bahawa sekurang-kurangnya, Syed Saddiq sebagai seorang ahli parlimen, beliau tidak boleh dilarang menghadiri Parlimen. Ini memberikan contoh yang tidak baik,” katanya kepada Malaysiakini.
Kes itu berlaku di tengah-tengah konflik dalaman Bersatu, di mana Syed Saddiq yang merupakan ketua pemuda ketika itu berpihak kepada pengerusi yang dipertikai Dr Mahathir Mohamad, dalam pertembungan kuasa dengan presiden Muhyiddin Yassin.
Kalangan Pemuda Bersatu yang menyokong Mahathir mendakwa SPRM telah menindas pihak yang menentang kerajaan Perikatan Nasional.
Namun, SPRM menafikan sebarang agenda bermotifkan politik, dengan menyatakan bahawa mereka hanya menyiasat kes tersebut.
Setakat ini, beberapa individu telah dipanggil berhubung kes tersebut, termasuk ketua penerangan Pemuda Bersatu, Ulya Aqamah Husamudin.
Anggota Pemuda Bersatu Adam Mukhriz Mohd Muhayeddin dan pembantu Syed Saddiq, Siti Nurul Hidayah sebelum ini turut membuat laporan polis dan mendakwa diugut oleh pegawai SPRM ketika disoal siasat sebagai saksi siasatan.
Sementara itu, ibu bapa Syed Saddiq dilaporkan telah dipanggil empat kali untuk membantu siasatan.
-MalaysiaKini