Syed Saddiq masih dalam bangunan SPRM -Pegawai
Seorang pegawai Syed Saddiq, Luqman Long, sebelum itu menjelaskan ahli politik terbabit hanya dipanggil untuk membantu siasatan sekali lagi dan tiba di ibu pejabat agensi antirasuah tersebut di Putrajaya kira-kira jam 10 pagi tadi.
Menurut Luqman ahli parlimen Muar itu diminta SPRM untuk memberi keterangan berhubung kehilangan wang berjumlah RM250,000 baru-baru ini.
“YB pagi tadi dia pergi SPRM lagi sekali sekitar 10 pagi.. tetapi dia masih dalam bangunan SPRM, tak keluar lagi,” katanya ketika dihubungi oleh Malaysiakini petang ini.
“Dia dipanggil untuk membantu siasatan mengenai duit di rumah dia,” jelasnya.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menafikan mereka menahan bekas menteri belia dan sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, mengesahkan hal itu kepada Malaysiakini ketika ditanya mengenai status Syed Saddiq.
"Tidak," katanya ringkas melalui WhatsApp sebentar tadi.
Semalam, Syed Saddiq terpaksa meninggalkan Dewan Rakyat lebih awal kerana dipanggil oleh SPRM untuk membantu siasatan mereka.
Nafi ada motif politik
Beliau tiba di situ kira-kira jam 4 petang sebelum keluar tiga jam kemudian.
Terdahulu hari ini, terdapat dakwaan bahawa Syed Saddiq ditahan SPRM.
“Tak betul. Setakat ini masih membantu siasatan. Belum ada penahanan,” jawab Luqman apabila diminta mengesahkan perkara tersebut.
Apabila ditanya mengenai butiran siasatan dari pihak SPRM, Luqman berkata agensi itu bertanya mengenai rekod kewangan Syed Saddiq sejak sebelum pilihan raya umum (PRU) ke-14 sehingga menyandang jawatan sebagai menteri.
Katanya, layanan SPRM juga adil dan hanya bertanyakan soalan yang berkaitan dengan siasatan.
Pada 25 Mac, Syed Saddiq membuat laporan polis berhubung kehilangan wang berjumlah RM250,000 dari peti besi di rumahnya.
Beberapa hari kemudian, beliau berkata sebahagian besar wang tunai yang dicuri dari kediamannya di Petaling Jaya adalah untuk kerja-kerja pengubahsuaian rumah.
Beliau turut memberitahu mengenai pecahan wang berkenaan, iaitu RM90,000 adalah miliknya manakala RM50,000 milik ibunya dan RM70,000 milik bapanya.
Namun, SPRM menafikan sebarang agenda bermotifkan politik di sebalik siasatan tersebut.
-MalaysiaKini