TERKINI: 111 sokong usul tolak speaker, 109 tolak
KUALA LUMPUR – Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon telah mengumumkan keputusan undian Usul Menolak Speaker Tan Sri Mohamad Ariff Mohd Yusof
Sebanyak 111 dari 222 ahli parlimen bersetuju, manakala 109 menolak usul tersebut. 1 orang tidak hadir.
Timbalan speaker Rashid Hasnon yang juga anggota parlimen Batu Pahat tidak mengundi kerana mempengerusikan sidang itu.
Ariff and Nga akan digantikan oleh bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun dan bekas menteri Umno Azalina Othman Said (PN – Pengerang).
Pemerhati melihat usul ini sebagai tanda kejayaan Muhyiddin menunjukkan sokongan diterimanya.
Timbalan speaker mengumumkan meyuarat ditangguh dan persidangan akan berlangsung semula pada jam 2.30 petang ini.
TONTON: Live Persidangan Dewan Rakyat 13 Julai
TERDAHULU: Anwar persoal niat gantikan Ariff
Terdahulu Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan niat kerajaan untuk menggantikan Ariff.
Ia selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengemukakan usul untuk menggantikan Ariff dengan alasan ada calon lain.
“Saya mencadangkan Tan Sri Mohamad Ariff mengosongkan jawatan atas alasan ada calon lain,” kata Muhyiddin.
Usul itu disokong Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Timbalan Speaker, Datuk Rashid Hasnon selepas itu membuka usul tersebut untuk dibahaskan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat.
Rashid mengeluarkan peraturan bahawa hanya dua wakil daripada kerajaan dan pembangkang boleh membahaskan usul tersebut.
Anwar bangun sebaik sahaja usul dibuka untuk dibahaskan dan mempersoalkan mengapa perlu dihadkan perbahasan yang begitu penting itu kepada jumlah ahli Parlimen dan masa yang terhad.
Beliau menyifatkan peraturan tersebut sebagai tidak adil kepada ahli-ahli Parlimen.
“Ini soal saya cadangkan Timbalan Speaker jangan ambil keputusan untuk menghalang daripada berbahas. Ini soal teknikal.
“Tidak ada sebab nak hadkan kepada dua orang kerana ini isu besar dan pertama kali dalam sejarah,” katanya.
Drama pertikaman lidah diteruskan apabila Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad bangkit mempersoalkan kesalahan Mohamad Ariff yang telah dilakukan sehingga dia harus digugurkan.
“Apa salah Mohamad Ariff sehingga ia ditukarkan,” katanya.
Begitu juga dengan Gobind Singh Deo, ahli Parlimen yang membangkitkan isu tiada keperluan untuk mengemukakan usul tersebut kerana tidak berlaku sebarang kekosongan.
Gobind menegaskan, usul seumpama itu hanya boleh dikemukakan jika berlaku kekosongan dan semua ahli Parlimen perlu diberikan notis tentang kekosongan terseut.
Suasana kecoh apabila ahli-ahli Parlimen pembangkang dan penyokong kerajaan berteriak sesama sendiri apabila Hasnon tidak dapat menjawab soalan-soalan yang dilontarkan kepada beliau.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan turut bangun menjelaskan isu pertukaran Speaker Dewan Rakyat boleh dilakukan dan usul tersebut telah diterima oleh speaker sendiri.
Pertikaman lidah itu gagal diredakan oleh Rashid sehinggakan Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu bingkas bangun dengan menggelar Rashid sebagai ‘bodoh’.
Drama panas ini berlangsung selama lebih 30 minit.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, Muhyiddin membentangkan usul bagi memilih bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun sebagai Yang Dipertua dan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said sebagai Timbalan Yang Dipertua mengikut Peraturan Mesyuarat 4(1) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
TONTON: Live Persidangan Dewan Rakyat 13 Julai
– MalaysiaGazette