KUALA LUMPUR- Bermula 1 Ogos ini kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka di dalam semua kenderaan awam dan tempat-tempat awam.
Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, orang-ramai dibenarkan untuk memakai pelitup muka yang dibuat sendiri asalkan memenuhi spesifikasi yang telah ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Butiran terperinci mengenai spesifikasi tersebut akan diedarkan kepada umum oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak lama lagi.
“Sebelum ini kerajaan tidak mewajibkan pemakaian pelitup muka kerana kita memahami terdapat keluarga yang berpendapatan rendah yang terpaksa mengeluarkan wang yang banyak untuk membeli pelitup muka pakai buang.
“Sudahlah pemakaian pelitup muka hanya tiga jam sahaja sebelum perlu dibuang. Ini memerlukan belanja yang besar terutamanya kepada keluarga miskin.
“Tetapi sekarang WHO telah mengeluarkan peraturan mengenai pelitup muka biasa tetapi tetap mempunyai spesifikasi khusus bagi memutuskan rantaian jangkitan, maka orang ramai bolehlah menjahit sendiri mengikut spesifikasi tersebut,” katanya semasa sidang media hari ini.
Beliau yang nyata kecewa dengan trend peningkatan jangkitan Covid-19 di negara ini selepas merekodkan prestasi positif sejak sekian lama berkata, kerajaan akan lebih bertegas bagi memastikan setiap rakyat mematuhi SOP.
“Sudah tiga hari jumlah kes baharu mencatatkan dua angka dan ini berlaku kerana kurangnya pematuhan dan sikap rakyat Malaysia sendiri.
“Contohnya, jika menaiki kenderaan awam, mereka diwajibkan memakai pelitup muka tetapi tidak lagi dipakai.
“Di tempat-tempat awam juga, kelihatan orang ramai sudah tidak mengamalkan penjarakan sosial.
“Semasa hendak balik menyambut Hari Raya Aidil Adha, pakailah pelitup muka semasa berada di dalam pengangkutan awam walaupun perintah wajib yang dikeluarkan kerajaan hanya berkuatkuasa pada 1 Ogos.
“Saya berharap anda berusaha untuk melindungi diri sendiri,” katanya lagi.
Tambah Ismail Sabri, pihak polis juga telah diarahkan untuk meningkatkan pemantauan serta mengambil tindakan yang lebih tegas kepada orang ramai yang tidak mematuhi SOP.
Ini termasuk kepada pemilik restoran, kedai dan pelanggan yang melanggar SOP.
- MalaysiaGazette