Al-Jazeera menipu, hanya mohon temubual Menteri Pertahanan selepas dokumentari dikeluarkan
Seorang pembantu kepada Ismail Sabri Yaacob memberitahu polis semalam bahawa pihaknya tidak pernah mendapat sebarang permohonan daripada Al-Jazeera sebelum dokumentari itu yang memberi gambaran bahawa Malaysia mengamalkan diskriminasi terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI) ketika negara menangani Covid-19, disiarkan.
Menurut The Malaysia Gazette, Ruhaidini Abdul Kadir disoal siasat oleh Bukit Aman mengenai dokumentari "Locked Up in Malaysia's Lockdown" petang semalam.
“PDRM (Polis Diraja Malaysia) cuma ambil keterangan daripada kami mengenai Al-Jazeera. Pihak Bukit Aman ambil keterangan hari ini hanyalah proses biasa.
“Al-Jazeera tidak pernah membuat permohonan sama ada untuk temubual atau mendapatkan maklumat daripada Menteri Kanan Pertahanan sehinggalah mereka keluarkan dokumentari itu.
“Selepas itu barulah mereka buat permohonan temu bual tapi sebab dokumentari sudah dikeluarkan, jadi Datuk Seri Ismail Sabri buat keputusan untuk tidak komen apa-apa kepada Al-Jazeera,” katanya.
Rudaini juga memberitahu polis bahawa dokumentari tersebut berisi "banyak fakta yang salah" yang memberikan kesan bahawa Malaysia telah menindas warga asing.
Dalam laporan video berdurasi hampir 26 minit, itu Al Jazeera mengatakan pihaknya telah membuat beberapa permintaan untuk mewawancarai Ismail, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin dan wakil Hamzah, tetapi permintaan itu ditolak.
Agensi berita itu mengulangi dakwaan itu setelah mendapat kecaman berhubung laporan mereka.
Selain setiausaha akhbar Ismail, polis juga mengambil keterangan dari setiausaha akhbar Hamzah, Zulkifli Bujang dan setiausaha peribadi Timbalan Menteri Dalam Negeri, Ismail Mohamed Said, Normazalina Mohd Nor.
Zulkifli mengatakan dia disoal sama ada Al Jazeera mendapat kebenaran untuk menayangkan dokumentari tersebut.
"Bukit Aman panggil untuk beri sedikit keterangan berkaitan dengan kes laporan dokumentari Al-Jazeera ini. Jadi kita hanya beri kerjasama apa yang sewajarnya.
“Kita pun terlibat dalam operasi Covid-19, jadi sama ada tepat laporan yang mereka buat itu juga membabitkan kita punya maklumat yang perlu diberikan dari segi mendapat kebenaran daripada KDN (Kementerian Dalam Negeri) sebelum membuat siaran,” katanya seperti dilapor.
Menurut laporan itu, ketiga-tiga mereka meninggalkan ibu pejabat polis persekutuan kira-kira 90 minit setelah mereka tiba pada pukul 2 petang semalam.
Al Jazeera mendapat kritikan dari Putrajaya setelah menyiarkan dokumentari tersebut pada 3 Julai lalu.
Ismail menafikan dakwaan bahawa pihak berkuasa bersifat "rasis" terhadap pendatang asing sementara Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah mengatakan laporan itu telah "merosakkan" imej Malaysia.
Polis sedang menyiasat Al Jazeera dan telah menyoal siasat enam wartawannya, sementara Md Rayhan Kabir, seorang pekerja migran yang diwawancara dalam dokumentari tersebut, telah dibatalkan permit kerjanya dan akan dihantar pulang.
Selasa lalu, polis dan pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyerbu pejabat Al Jazeera di KL, selain pejabat Astro dan UnifiTV kerana menyiarkan dokumentari tersebut.
Kumpulan media sejak itu mengkritik Putrajaya, yang menyifatkan tindakan itu sebagai mengekang kebebasan media.
Al Jazeera telah berulang kali mempertahankan laporannya dan mengecam intimidasi terhadap wartawan dan individu yang diwawancara.