Bekas perdana menteri Najib Razak bersyukur kerana tidak ada kluster Covid-19 yang muncul di kalangan penyokongnya yang berhimpun kompleks mahkamah Kuala Lumpur pada 28 Julai lalu.
Puluhan ribu penyokong yang hadir memberi sokongan didapati tidak mematuhi penjarakan fizikal ketika itu akibat terlalu ramai yang datang.
“Hari ini genap 15 hari selepas penghakiman mahkamah tinggi kes SRC saya.
“Ini bermakna tiada kluster Najib tercetus sebab tempoh inkubasi Covid 14 hari sudah berlalu.
“Alhamdulillah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini menyuarakan kekecewaannya kerana para peserta himpunan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 dan berkata kemungkinan munculnya gugus kluster baru hanya akan diketahui dalam dua minggu lagi.
Najib mengakui ketidakpatuhan penjarakan fizikal dalam himpunan itu adalah satu kesilapan dan menasihati orang ramai supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan untuk mencegah penularan virus berkenaan.
“Kita jangan ulangi kesilapan hari itu.
“Kita perlu sentiasa mengamalkan SOP demi kebaikan semua,” katanya.
Hari ini genap 15 hari selepas penghakiman mahkamah tinggi kes SRC saya. Ini bermakna tiada kluster Najib tercetus...
Posted by Najib Razak on Tuesday, 11 August 2020