Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Bersatu mungkin dibubarkan dan sertai UMNO -Mahathir


Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini mendakwa bahawa penggantinya, Muhyiddin Yassin membuka keanggotaan Bersatu kepada bukan Melayu kerana "takut" hilang jawatan apabila kehilangan sokongan enam anggota parlimen BN.

"Perdana menteri takut hilang jawatan jika kehilangan enam kerusi. Sedang mencari pengganti. Dari mana? Mungkin dari PKR. Tetapi kosnya tinggi," kata Mahathir dalam tulisan di blognya hari ini.

Dalam tulisan terbarunya yang bertajuk "Kekeliruan" itu, Mahathir juga berkata Bersatu mungkin akan dibubarkan dan diserapkan ke dalam UMNO kerana mereka sudah kehilangan banyak akar umbi.


Jelas Mahathir, ini kerana, Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) kini bergantung kepada Umno.

"Sekarang Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) bergantung kepada UMNO. Jika orang UMNO tidak sokong jatuhlah PN. Sebaliknya jika UMNO tidak sokong mereka juga akan jatuh. Sebab itu UMNO terpaksa sokong."

Namun, katanya, lima ahli parlimen Umno mungkin disabitkan bersalah, sementara Ahli Parlimen Pekan Najib Razak sudah disabitkan di mahkamah dan sedang menunggu rayuan.

"Jika mereka kehilangan kedudukan sebagai wakil rakyat, Bersatu dan PN akan jatuh.


"Untuk elak dari ini berlaku, perdana menteri perlu cari ganti. Maka Bersatu pun gugur kedudukan sebagai parti Pribumi dan membuka keahlian kepada semua kaum," katanya.

Mahathir merujuk pengumuman Muhyiddin pada 22 Ogos lalu tentang usul membuka sayap baru dalam Bersatu yang membuka keanggotaan kepada bukan Melayu dan membenarkan mereka memegang jawatan.

Muhyiddin mengumumkan perkara itu ketika majlis meraikan penyertaan bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali dan sekutunya, termasuk dari kalangan bukan Melayu, ke dalam Bersatu.

Sementara itu, Mahathir juga mendakwa, dengan kehadiran Pejuang, parti baru yang akan ditubuhkannya, ramai ahli akar umbi meninggalkan Bersatu.


"Dalam PRU, Bersatu tidak akan dapat sokongan Umno dan PAS, tidak juga dari Pakatan Harapan (PH).

"Bersatu mungkin dibubar dan sertai Umno. Tamat riwayat parti yang dicuri. Pening kepala Muhyiddin. Tidak ada haluan untuk dituju.

"Cari sakit. Dapat sakit," kata Mahathir.

Untuk rekod, setakat ini, Muhyiddin berhasil meluluskan perundangan di parlimen, meskipun dengan sokongan paling banyak yang pernah diterima adalah 111 daripada 222 ahli parlimen, sementara pembangkang meraih tidak lebih dari 109 sokongan ahli parlimen.