Bekas timbalan presiden PKR, Mohamed Azmin Ali menolak surat tuntutan RM10 juta daripada partinya dan menegaskan bahawa dia tidak akan melayani tuntutan berkenaan.
"Untuk apa?
“Kenapa saya perlu bayar mereka (PKR) RM10 juta? Jika saya ada duit sekalipun, saya akan serah (wang itu) kepada rakyat, saya tidak akan serahkan kepada parti yang sudah rosak seperti PKR," kata Azmin yang juga ahli parlimen Gombak.
Sebelum ini, Bendahari Agung PKR Lee Chean Chung dilaporkan berkata parti itu akan mengeluarkan surat tuntutan kepada 19 ahli Parlimen dan ahli Dewan Undangan Negeri PKR yang keluar parti, menuntut mereka membayar RM10 juta masing-masing kepada PKR.
Lee berkata, surat tuntutan menyatakan mereka perlu membayarnya dalam masa tujuh hari dan sekiranya ereka gagal berbuat demikian, parti telah mengarahkan peguam untuk memulakan tindakan selanjutnya terhadap mereka.
Menurut laporan sebelum ini, jumlah pampasan RM10 juta itu dinyatakan dalam dokumen yang ditandatangani mereka yang menjadi calon PKR dalam PRU14.
Sementara itu, bekas ketua wanita PKR Haniza Mohd Talha berkata dia yakin tidak ada tindakan boleh diambil terhadapnya yang didakwa berpaling tadah.
Menurut Adun Lembah Jaya itu, tuntutan terbabit juga bersifat ultra vires iaitu melangkaui bidang kuasa.
"Saya nampak tindakan tersebut seperti ultra vires yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang memberi hak kebebasan kepada mana-mana warganegara untuk menganggotai mana-mana pertubuhan yang berdaftar.
"Kita akan meneliti apakah saman yang dikenakan dan kita sudah bersedia dengan peguam untuk mengambil tindakan seterusnya," katanya yang dipetik oleh Bernama, hari ini.
Malah menurut Haniza, dia tidak keluar parti tetapi dipecat, selain dakwaan lompat parti adalah tidak benar kerana beliau adalah Adun Bebas.
"Sekiranya saya menganggotai pertubuhan selain PKR, itu (juga) tidak menyalahi Perlembagaan Persekutuan," katanya.
Berikut adalah senarai anggota Parlimen dan Adun yang dinamakan itu:
Mohamed Azmin Ali (MP Gombak)
Zuraida Kamaruddin (MP Ampang)
Saifuddin Abdullah (MP Indera Mahkota)
Kamaruddin Jaffar (MP Bandar Tun Razak)
Mansor Othman (MP Nibong Tebal)
Rashid Hasnon (MP Batu Pahat)
Santhara Kumar (MP Segamat)
Ali Biju (MP Saratok)
Jonathan Yasin (MP Ranau)
Baru Bian (MP Selangau)
Dr Chong Fat Full (Adun Pemanis)
Muhammad Jailani Khamis (Adun Rembia)
Abdul Yunus Jamahri (Adun Kuala Krau)
Muhammad Hilman Idham (Adun Gombak Setia)
Azman Nasrudin (Adun Lunas)
Robert Ling Kui Ee (Adun Sidam)
Haniza Mohamed Talha (Adun Lembah Jaya)
Daroyah Alwi (Adun Sementa)
Zulkifli Ibrahim (Adun Sungai Aceh)