Ikon orang muda sertai gerakan parti Syed Saddiq, termasuk bekas CEO PNB yang kontroversi
KUALA LUMPUR: Parti baharu yang diinisiatifkan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, 28, hampir menjadi kenyataan apabila hari ini beliau dijadual mengadakan pertemuan tertutup di Kelab Sultan Sulaiman, di sini dengan ikon-ikon popular orang muda.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu tidak menyangka ikon-ikon berkenaan tertarik dengan idea menubuhkan pergerakan atau parti baharu yang didakwanya akan cuba menggantikan ‘politik tua’ di negara ini.
“Saya terkejut mereka boleh memberanikan diri sebab mereka kata dengan hashtag #masakita, kalau sebagai anak muda tak berani sahut cabaran ini dan kita duduk di belakang, takut, bila lagi kita boleh bawa perubahan berskala besar dalam politik negara?
“Uniknya apabila baru-baru ini saya pergi ke Felda, ada banyak pak cik dan mak cik sokong untuk memberi peluang kepada yang muda.
"Mereka kata asyik orang sama sahaja, politik sama berulang kali dan masalah sama dalam politik. Masalah berterusan. Kata mereka, masa depan cucu mereka akan terbela, kita perlukan landskap politik yang inklusif tapi yang dipimpin anak muda dan muka baharu.
“Ini bukan gerakan Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tan Sri, Datuk Seri atau gerakan pemimpin orang kaya lama, tapi inilah momentum anak muda. Mereka mahukan wajah-wajah baharu, amanah dan berintegriti,” katanya ketika ditemui Jumaat lalu di Parlimen.
Tak mahu sertau Pejuang, ingin tolak budaya "politik tua"
Ditanya mengapa tidak meneruskan legasi untuk orang muda dengan menyertai Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang diasaskan mentornya, Dr. Mahathir, jelasnya, beliau ingin membawa kumpulan orang muda untuk membuang budaya ‘politik tua’ serta menggerakkan aspirasi baharu untuk rakyat Malaysia.
“Rasa hormat kepada Tun Mahathir itu takkan hilang. Cuma kita nak barisan anak muda, golongan profesional dan akademia datang daripada pelbagai bangsa yang ingin pecahkan tembok tradisi yang telah pun penjarakan politik Malaysia sekian lama.
Yang kaya terus kaya, korporat terus mendominasi politik, orang yang sama sahaja.
“Jadi anak muda kena berdikari, tak boleh sahaja bergantung kepada politik tua dan kita nak bawa politik muda. Bukan sebab usia, tapi idea dan lain-lain,” katanya..
Berikut, kata Syed Saddiq, antara ikon yang akan menyertai perbincangan hari ini dalam mesyuarat
Rundingan Muda Malaysia:
* Jalil Rasheed – Pakar pelaburan muda yang pernah memegang jawatan Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Bhd. Beliau menjadi kontroversi apabila meletakkan jawatan setelah mendakwa akaun Linkedin dan emailnya digodam. Beliau juga dikatakan tidak mempunyai kelayakan akademik yang sah.
* Amir Hadi, 29. – Pengasas bersama dan Setiausaha Agung Liga Rakyat Demokratik (LRD). Beliau juga Penyelaras Kanan Suara Rakyat Malaysia (Suaram).
* Lim Wei Jiat, Peguam di firma Kuala Lumpur. Wakil Malaysia ke International Bar Association’s (IBA) Young Lawyers Committee.
* Ezzaty Hasbullah, 24. – Pelajar lulusan Universiti Pennsylvania. Salah seorang penerima biasiswa berprestij, Biasiswa Rhodes untuk menyambung pelajaran di Universiti Oxford.
* Cheryl Ann Fernando, 35. – Ahli termuda dalam Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan Negara (JKDPN) untuk merangka polisi baharu berkaitan dengan penambahbaikan sistem pendidikan negara. Beliau juga penerima anugerah Marie Claire Amazing Women 2018 dan pernah dipilih mewakili Malaysia sebagai kohort pertama Obama Young Leaders Asia Pacific 2019/2020.
– UTUSAN