Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Insiden Kena Boo: Ketua Armada terima permohonan maaf Annuar Musa



Pemuda Bersatu (Armada) hari ini berkata pihaknya menerima permohonan maaf berhubung insiden wakilnya yang menerima layanan kurang menyenangkan pada majlis pelancaran jentera Pemuda BN dua hari lalu.

Ketuanya yang baru dipilih, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, pihaknya menerima pernyataan maaf oleh Setiausaha Agung BN Annuar Musa dan sedia untuk meneruskan kerjasama bagi memastikan calon BN dalam PRK Slim yang sedang berlangsung.

"Saya maklum dengan perkembangan tersebut dan kebetulan ketika ia berlaku, kami (Armada) sedang bersidang seluruh negara.


"Ini agak mendukacitakan. Tetapi saya fikir, apa yang telah diumumkan Annuar berhubung perkara ini, dan (Annuar) telah meminta maaf bagi pihak jentera BN dan kami mengalu-alukan dan menerima permohonan maaf itu," katanya ketika sidang media di ibu pejabat Bersatu di Petaling Jaya, Selangor hari ini.

Dalam peristiwa tersebut, hadirin yang terdiri daripada penyokong BN menyorak "boo" apabila Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menyebut parti itu yang sekarang berhasrat secara rasmi menyertai Muafakat Nasional, gabungan Umno dan PAS.

Perkara sama berlaku apabila Zahid memberitahu Armada supaya membuktikan keupayaannya pada PRK ini.


Annuar kemudian menegur perkara itu dan menyifatkannya sebagai "amat tidak wajar".

“Maaf kiranya ada yang tak kena. Kita tumpu PRK secara berpasukan,” katanya di Twitter.

Mengulas lanjut, Fayhsal menyuarakan harapan agar perkara seumpama itu tidak berulang lagi.

"Armada berpegang kepada adab dan adat orang Melayu dan pribumi. Kami sedia bermuafakat bersama Pemuda Umno dan PAS untuk memastikan kemenangan calon BN di PRK Slim," katanya lagi. -MalaysiaKini