Kluster Sivagangga: Penduduk pekan Napoh failkan saman ke atas pemilik nasi kandar
KUALA LUMPUR – Selepas Mahkamah Majistret Alor Setar, Kedah menjatuhkan hukuman penjara lima bulan dan denda RM12,000, pemilik kedai Nasi Kandar Salleh di Napoh, Kubang Pasu berdepan pula dengan saman yang difailkan penduduk pekan itu.
Penduduk dan pemilik kedai di pekan Napoh akan memfailkan saman sebanyak RM1 juta terhadap Nezar Mohamed Sabur Batcha, 57, bagi menuntut kerugian selepas mereka terkesan dengan kluster Sivagangga.
Perkara itu dinyatakan Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (CAKE), Mohamad Yusrizal Yusoff, yang memaklumkan, tuntutan saman itu dibuat berdasarkan nasihat peguam bagi memberi pengajaran kepada semua pihak supaya tidak sewenang-wenangnya melanggar arahan kuarantin.
Sehingga semalam, katanya, CAKE telah mengumpul kira-kira 100 penduduk dan peniaga kedai termasuk enam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sekitar Napoh, yang mahu memfailkan saman kepada pemilik restoran Nasi Kandar Salleh itu.
“Hari ini kita jangka ada lagi penduduk yang mahu berbuat demikian. Kita mendapat nasihat guaman dari Zunun & Co yang menawarkan perkhidmatan secara percuma untuk membawa kes saman ini,” katanya.
Ketika dihadapkan ke mahkamah, Nezar Mohamed mengaku bersalah terhadap empat pertuduhan tidak mematuhi perintah pengawasan dan pemerhatian pada 14 Julai lalu sehingga mencetuskan kluster Sivagangga.
Majistret Mohd Hadi Hakimi Harun menjatuhkan hukuman itu pada sesi pertuduhan khas yang diadakan di Hospital Lama Alor Setar, tempat tertuduh dikuarantin selepas didapati positif Covid-19.
Nezar Mohamed dituduh meninggalkan premis yang ditetapkan untuk menjalani pengawasan dan pemerhatian yang dikeluarkan terhadapnya di bawah Seksyen 15(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di premis Bank Rakyat Cawangan Jitra pada jam 4.40 petang; di premis Agro Bank Cawangan Jitra pada jam 3.58 petang; di premis Pusat Khidmat Hasil Kubang Pasu, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada jam 3.35 petang dan di premis Public Bank Cawangan Jitra pada jam 3 petang 14 Julai lalu.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 22(b) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(a) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya. – MalaysiaGazette