Muktamad, BN akan ambil balik 16 kerusi Ahli Parlimen yang lompat ke Bersatu
Majlis Tertinggi Umno memutuskan bahawa BN akan bertanding di kerusi yang mana ahli parlimennya berpaling tadah selepas menang pada PRU14.
"Kerusi-kerusi yang BN menang dulu yang melompat, maka kita ambil balik. Itu keputusan MT, bukan keputusan presiden.
"MT Umno membuat keputusan bahawa, kerusi-kerusi yang dulunya dimenangi BN, maka BN akan ambil balik.
"Perkara ini sudah pasti," tegas Ahli Majlis Tertinggi Umno Zahidi Zainul Abidin pada video di portal berita Suara TV hari ini.
Jelasnya, jika Bersatu mahu bertanding pada PRU15, maka parti itu boleh bertanding di kerusi lain.
"Maka kita tak akan bagi satu kerusi pun kepada Bersatu. Itu sudah pastilah.
"Jadi kalau Bersatu nak, maka dia bertandinglah di kerusi-kerusi yang lain.
"Kerusi-kerusi Bersatu Blackout ke, apa ke, terpulang kepada dialah. Mereka bertanding di tempat itu lah," katanya.
Menurutnya, BN memutuskan untuk bertanding di kerusi yang ditandinginya pada pilihan raya lalu dan kalah, tetapi berjaya memperoleh jumlah undi kedua terbanyak.
Langkah itu kemungkinan akan menjadikan Bersatu cuma mendapat beberapa kerusi yang layak untuk ditandingi parti itu ketika berunding kerusi untuk pilihan raya ke-15 dan juga pilihan raya negeri Sabah.
Ketua Bahagian Umno Padang Besar, Perlis itu juga mengulas mengenai rakan parti komponen Muafakat Nasional, PAS.
Katanya, Umno akan memberi jalan sekiranya Presiden PAS Abdul Hadi Awang meminta untuk bertanding di kerusi yang difikirkan dapat dimenangi oleh parti itu.
"Kemungkinan kerusi-kerusi yang kita akan bagi dengan Muafakat Nasional ini kerusi-kerusi peminpin tertinggi PAS. Macam kalau Tuan Haji Hadi nak bertanding kat mana atau tempat yang bertanding tu sudah tentu dia menang, maka kita akan bagilah.
"Tapi kalau dia minta kawasan yang menang presiden PAS, naib presiden PAS dan sebagainya minta, maka kita akan bincang. Itu lain," jelas beliau lagi.
Sewaktu PH memenangi pilihan raya umum pada 2018, beberapa ahli parlimen Umno telah berpaling tadah kepada Bersatu atau menjadi anggota parlimen bebas yang bersekutu dengan kerajaan PH.