Perkasa bantah perlantikan Ambiga sebagai Pengerusi SPR
KUALA LUMPUR – Benarkah peletakan jawatan Ahli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Ibrahim ada kaitan dengan ura-ura pelantikan Datuk S. Ambiga sebagai Pengerusi SPR yang baharu?
Jika benar, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) membantah keras pelantikan itu kerana menyifatkan bekas Pengerusi Bersih itu pejuang tegar LGBT dan tidak layak berada dalam jabatan atau agensi kerajaan.
Setiausaha Agung Perkasa, Syed Hassan Syed Ali berkata, NGO itu terkejut apabila menerima khabar angin menyatakan Ambiga akan dilantik sebagai Pengerusi SPR oleh kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Apakah ianya benar?” soal beliau menerusi kenyataannya kepada media hari ini.
SPR Putrajaya semalam mengumumkan peletakan jawatan Ramlan sebagai ahli suruhanjaya itu berkuatkuasa serta merta.
Kenyataan ringkas Unit Komunikasi Korporat SPR itu menyatakan, peletakan jawatan itu mendapat perkenan yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Kerusi Pengerusi SPR kini kosong berikutan penyandangnya, Datuk Azizan Azhar Harun meletak jawatan dan dilantik sebagai Speaker Dewan Rakyat pada 13 Julai lalu.
Menurut Syed Hassan, khabar angin juga bertiup kencang mendakwa penyebab utama Ramlan berundur diri dari SPR dikatakan kerana protesnya terhadap cadangan kuat kerajaan PN untuk melantik S. Ambiga.
Tegasnya, Perkasa tidak dapat menerima bagaimana Perdana Menteri tinggalkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) demi kuasa Melayu, tetapi jawatan penting seperti itu diberi kepada bukan Melayu pejuang LGBT yang sama sekali bertentangan dengan Islam.
“Sudah tiada tokoh Melayu yang lain lagikah,” tanya beliau.
Bagaimanapun, berharap khabar itu tidak benar sama sekali, selain mengharapkan Muhyiddin tidak meneruskannya jika khabar itu benar.
“Saya percaya semua NGO Islam dan Melayu menentangnya sama sekali. Perjuangan sebuah kerajaan Melayu hanya retorik sahaja jika lantikan ini menjadi kenyataan,” katanya.
– MalaysiaGazette