PM dedah peratus pemilikan ekuiti Melayu semakin membimbangkan
PARLIMEN l Peratusan ekuiti Melayu dan bumiputera yang dicatatkan ketika ini adalah lebih kurang 16 peratus sahaja dan ia semakin merosot dan membimbangkan berbanding tempoh sebelum ini.
Bercakap pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata apa yang penting ketika ini adalah usaha yang mahu dilaksanakan kerajaan bagi meningkatkan jumlah pemilikan berkenaan.
"...sebab itu, yang penting adalah bagaimana usaha yang hendak dibuat kerajaan sekarang dan komitmen kita adalah untuk berusaha lebih dari dahulu.
"Komitmen kita adalah untuk berusaha lebih daripada dahulu dan sebab itu, ada inisiatif baharu seperti Majlis Kemakmuran Bumiputera (MKB) yang akan meneliti apakah sektor, yang mana bumiputera agak jauh di belakang.
"(Sebagai contoh) katakanlah sektor pembuatan, perbankan atau pertanian. Apabila ada data lengkap yang dapat dikumpul melalui unit Teraju, maka tindakan kita lebih berfokus, dan sebab itu inisiatif ini akan kita laksanakan dengan lebih gigih lagi," katanya.
Muhyiddin menjawab soalan tambahan Ahmad Zahid Hamidi (BN-Bagan Datuk) mengenai kedudukan pemilikan ekuiti bumiputera dalam syarikat tersenarai, tidak tersenarai dan kedudukan agensi amanah bumiputera.
Perdana menteri juga memaklumkan kepada Dewan Rakyat bahawa, bagi suku kedua 2020 kadar pengangguran dalam kalangan bumiputera adalah 5.2 peratus berbanding purata nasional 5.1 peratus.
Sementara insiden kemiskinan dalam kalangan bumiputera pada tahun 2019, katanya adalah 7.2 peratus berbanding kaum Cina 1.4 peratus dan India 4.8 peratus.
Sementara itu, ketika menjawab soalan Mujahid Yusof Rawa (PH-Parit Buntar) mengenai langkah-langkah meningkatkan ekonomi Bumiputera, Muhyiddin berkata, ini akan dilaksanakan melalui Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang akan dibentangkan awal tahun hadapan.
Beliau berkata bagi memperkasa pembangunan sosio-ekonomi Bumiputera, kerajaan mewujudkan Majlis Kemakmuran Bumiputera (MKB) yang dipengerusikannya, selain memutuskan supaya Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) menjadi Agensi Penyelaras Utama pembangunan sosio-ekonomi Bumiputera.
“Teraju akan menjadi penyelaras tunggal bagi pangkalan data Bumiputera merentas kementerian, agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Selain itu, Bumiputera akan diberi lonjakan berganda menerusi pembentukan budaya keusahawanan di pelbagai peringkat untuk menjadikan Bumiputera sebagai bangsa usahawan.
“Budaya keusahawanan ini akan terus dipupuk secara bersepadu melalui peranan pelbagai agensi seperti Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Tekun Nasional (Tekun) serta agensi-agensi mandat Bumiputera,” katanya.
Menerusi MKB, Muhyiddin berkata kerajaan akan meneliti serta memperhalusi sektor yang jauh ketinggalan dalam kalangan Bumiputera dan menerusi data lengkap yang dikumpul melalui unit Teraju membolehkan tindakan yang lebih fokus dilakukan.
Dalam pada itu, menjawab soalan tambahan Hasan Arifin (BN-Rompin) mengenai kerjasama ekonomi antara Bumiputera dan bukan Bumiputera bagi meningkatkan penglibatan golongan Bumiputera, Muhyiddin berkata beliau akan tumpukan berkaitan hal itu dalam rangka kerja yang sedang dirancang.
“Itu adalah satu usaha yang kita boleh lakukan untuk menggabungkan tenaga dan juga sumber modal daripada Bumiputera dan bukan Bumiputera secara “perkongsian tulen”, bukan dengan cara ‘Ali Baba’ dan cara-cara yang tidak berapa sesuai dengan dasar kita.
“Ini yang kita akan beri perhatian dan saya akan beri tumpuan dalam rangka kerja yang kita sedang rancang sekarang ini,” katanya.
-MalaysiaKini