Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) akan membuat tapisan sebaik mungkin terhadap setiap individu yang memohon menyertai parti berkenaan.
Datuk Seri Mukhriz Mahathir, antara pengasas parti itu, berkata ramai yang menghubunginya bertanyakan borang keahlian dan ingin menubuhkan bahagian namun parti itu agak memilih dalam menerima keahlian nanti.
“Seperti mana sedia maklum ROS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan) belum meluluskan pendaftaran Pejuang.
"Itu sebabnya kita belum lagi menerima permohonan keahlian ...proses itu akan berlaku selepas kita sudah selesaikan pendaftaran parti,” katanya ketika ditemui pemberita di luar persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman di Alor Setar, hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai sasaran keahlian Pejuang di negeri ini.
Ditanya sama ada Pejuang akan memfokuskan untuk mendapatkan bekas ahli Umno dan Bersatu untuk menyertai parti baru itu, Mukhriz menjawab: “tidak semestinya”.
BACA: Sambutan kepada calon Pejuang di PRK Slim suram- Mukhriz
- Bernama