Realitinya Khairuddin tiada kluster, kata Tuan Ibrahim
Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, beranggapan isu membabitkan Mohd Khairuddin Aman Razali sudah tidak penting kerana terbabit tidak menyebabkan sebarang kluster.
Justeru, kata Tuan Ibrahim, sebaiknya tumpuan semua pihak kini diberikan kepada yang mempunyai kluster Covid-19.
"Dia dah bayar kompaun maksimum RM1,000... dia ini tiada kluster.
"Dia dah buat swab test (ujian sapuan) dan kesilapan dia itu pun dah bayar kompaun apa semua," katanya kepada media selepas majlis penyampaian sumbangan khas dan kit Covid-19 kepada sekolah-sekolah peringkat Parlimen Kubang Kerian di Kota Bharu, hari ini.
Anggota Parlimen Kubang Kerian itu berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada pemergian Khairuddin ke Turki sebelum ini dalam pengetahuan parti atau sebaliknya.
Terdahulu Khairuddin yang juga anggota parlimen Kuala Nerus dikompaun RM1,000 atas kesalahan gagal menjalani kaurantin kendiri sebalik pulang dari Turki pada 7 Julai lalu.
Korban tolak gaji
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu juga memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia serta menyumbangkan gajinya selama empat bulan kepada Tabung Bantuan Bencana Negara (Covid-19).
Untuk rekod pengakuan dan permohonan bersalah itu dibuat Khairuddin selepas dia beberapa kali mempertahankan kewajaran tindakannya tidak melakukan kuarantin kendiri.
Sesetengah pihak pula mempersoalkan kesahihan kompaun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berdasarkan garis masa isu tersebut sejak ia mula didedahkan.
Tuan Ibrahim berkata, Khairuddin sudah melakukan pengorbanannya dengan bertindak memulangkan gaji bulanannya sebagai tanda menyesali perbuatan tersebut.
"Realitinya bukan ada kluster dia, yang pentingnya dia didenda dan pengorbanannya tolak semua gaji. Sepatutnya tak jadi isu.
"Baik kita tumpu kepada yang ada kluster," jelasnya yang juga menteri alam sekitar dan air.
-MalaysiaKini