Sambutan kepada calon Pejuang di PRK Slim suram -Mukhriz
SLIM RIVER – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang sedang mendaftarkan permohonan di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) mengakui berdepan waktu sukar pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.
Bakal presiden parti itu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mendakwa mereka berdepan kempen yang suram pada hari pertama dan kedua sebelum ini.
Namun jelas bekas Menteri Besar Kedah itu, momentun makin positif bila masyarakat semakin sedar dengan kehadiran calon bebas dari Pejuang itu apatah lagi Amir Khusyairi Mohamad Tanusi telah diumumkan sendiri oleh bakal Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Kalau tengok momentum sangat positif dan saya terpaksa mengakui hari pertama dan kedua kempen bermula memang macam gelap sangat peluang kita untuk memberi impak dalam PRK ini.
“Tetapi laporan yang saya terima daripada empat sumber berbeza, nampak macam ada perkembangan yang sangat positif.
“Jadi usaha kita memperkenalkan calon yang pertama seperti dalam keadaan kita tidak ada parti dan bertanding bebas, nampaknya orang sudah mengenali bahawa kita ada calon di sini dan disahkan oleh Tun Dr Mahathir, jadi maksud kena tambah usaha gigih ini sampai 29 Ogos ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas berkempen dari rumah ke rumah di Felda Gunung Besout 1 di sini hari ini.
Turut hadir, bekas Ketua Armada Nasional Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan calon Bebas dari Pejuang, Amir Khusyairi.
Jelas bekas Timbalan Presiden Bersatu itu, pihaknya juga berdepan cabaran kerana BN memiliki juga memiliki pengalaman luas dalam menghadapi PRK.
“Alhamdulillah calon kita Bebas dan parti dalam pendaftaran tidak sempat guna lambang dan nama parti untuk bertanding di PRK Slim ini dan walaupun begitu, kita beri saingan hebat pada BN.
“Jadi ini satu perkembangan yang baik walhal kita tahu BN mempunyai jentera yang begitu mantap dan banyak sumber serta tentunya memiliki pengalaman lama dalam bidang kempen PRK.
“Kita berusaha sedaya yang boleh untuk tawan hati rakyat di kawasan ini untuk memilih Amir Khusyairi,” katanya.
Pada 12 Ogos lalu, Mahathir mengumumkan parti baharunya dikenali sebagai Parti Pejuang Tanah Air pada majlis memperkenalkan calon parti tersebut bagi PRK DUN Slim.- MalaysiaGazette