Skandal rundingan terus, bukti sikap hipokrit PH tiada tandingan -Tuan Ibrahim
Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man menggesa agar semua projek rundingan terus yang telah diluluskan oleh Kementerian Kewangan sewaktu pentadbiran PH disenaraikan kepada umum.
Ia susulan kenyataan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz di Dewan Rakyat semalam bahawa sejumlah 101 projek rundingan terus bernilai RM6.61 bilion diluluskan oleh kementerian tersebut sewaktu pentadbiran kerajaan PH.
Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air berkata, kenyataan itu pastinya mengejutkan rakyat memandangkan PH selama ini melaungkan prinsip tender terbuka, termasuk dalam manifestonya.
"Lebih mengejutkan bilamana bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng mendakwa semua projek tersebut telah diluluskan oleh kabinet.
"Kenyataan beliau telah dinafikan secara tegas oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Azmin Ali yang menyatakan perkara itu tidak melalui kelulusan kabinet.
"Jika apa yang dikatakan YB Azmin benar, maka ini bermakna Lim telah melakukan suatu pembohongan dalam dewan yang mulia.
“Rakyat tentu terkejut dengan pendedahan tersebut, kerana selama ini PH melaungkan slogan tiada projek runding terus, bahkan dalam manifesto PH semua projek akan dibuat secara tender terbuka.
"Sikap hipokrit PH ini semestinya tiada tandingan meskipun mereka sering menuduh orang lain.
"Berita ini tentunya menjadi bola tanggung dan menyemarakkan lagi siri kempen dalam PRK Slim yang sedang berlangsung."
"PAS menggesa agar semua projek runding terus yang telah diluluskan, kos projek dan kontraktor yang memperolehi projek tersebut disenaraikan untuk tatapan umum," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tengku Zafrul membangkitkan perkara itu ketika penggulungan RUU Langkah-langkah sementara bagi pembiayaan kerajaan (penyakit koronavirus 2019) Covid-19 2020 di Dewan Rakyat semalam.
-Tun Carlos