Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

TLDM nafi dokumen sensitif terdedah di laman haram "Dark Web"



Dokumen Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang didakwa dipaparkan di laman Dark Web seperti laporan media asing hari ini tidak melibatkan dokumen berdarjah yang boleh menjejaskan kesiagaan dan operasi pasukan keselamatan berkenaan.

Cawangan Komunikasi Strategik Markas TLDM dalam satu kenyataan berkata pihaknya mengambil maklum perkara berkenaan dan akan menyiasat punca serta sumber ketirisan maklumat itu.

“Sehingga kini sistem teknologi maklumat dan komunikasi TLDM dalam keadaan utuh di bawah pemantauan Pusat Operasi Pertahanan Siber Markas Angkatan Tentera Malaysia.


"TLDM memandang serius perkara ini dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat,” menurut kenyataan itu.

Hari ini, satu artikel yang dikeluarkan media asing The Straits Times Singapura bertajuk "Malaysian navy papers put up on Dark Web" telah tular di media sosial dan mendakwa sebanyak 70 dokumen Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah dimuat naik ke dalam laman ‘Dark Web’.

Menurut laporan itu, dokumen yang dimuat naik adalah diperolehi dari beberapa sumber yang menggodam akaun e-mel anggota tentera.


Dokumen yang dimuat naik itu mendedahkan maklumat mengenai jumlah anggota tentera di beberapa pangkalan tentera laut dan kem tentera semasa cuti, syarat untuk pemeriksaan tentera laut, dan maklumat pegawai serta anggota yang didakwa melakukan rasuah, mengambil dadah dan tidak hadir tanpa cuti.

Menurut ST, terdapat juga dokumen milik tentera dan tentera udara Amerika Syarikat (AS) serta tentera laut Nigeria yang dimuat naik. Ia termasuklah maklumat berkaitan ketenteraan yang dicuri dari pelbagai negara dan kontraktor pertahanan.

Dark Web merujuk kepada rangkaian laman web yang tidak mudah diakses oleh pengguna Internet biasa tetapi sering digunakan untuk kegiatan haram yang bertujuan untuk melanggar undang-undang

- Bernama