90% calon UMNO Sabah sudah selesai dipilih -Bung Moktar
KINABATANGAN: Berbaki tujuh hari sebelum penamaan calon bagi pilihan raya negeri (PRN) Sabah, UMNO Sabah sudah menyelesaikan 90 peratus pemilihan calon yang akan bertanding.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata bagaimanapun, belum tiba masa untuk mendedahkannya, sebaliknya akan mengumumkan perkara itu apabila tiba masanya nanti.
"Belum boleh saya bagitahu, nanti sampai masanya saya beri tahu. Calon sudah siap kira-kira 90 peratus dan pengumuman akan dibuat pada 8 atau 9 September ini," katanya dalam sidang media sempena Program Mini Karnival Kerjaya Peringkat Kinabatangan di sini, hari ini.
Setakat hari ini, belum ada mana-mana parti politik yang akan menyertai PRN Sabah mengumumkan calon.
Dalam PRN Sabah ke-16 ini, sebanyak 74 kerusi dewan undangan negeri (DUN) akan dipertandingkan selepas DUN Sabah dibubarkan, 30 Julai lalu.
-BH online