"Berkahwin dengan pokok adalah keputusan terbaik dalam hidup saya." -Kate Cunningham
London: Seorang ibu dua anak di United Kingdom mengejutkan dunia apabila berkahwin dengan pokok malah meraikan ulang tahun pertamanya dengan tumbuhan itu, bulan ini.
Wanita itu sanggup meninggalkan teman lelaki di rumah semata-mata untuk meraikan ulang tahun pertama perkahwinannya dengan pokok berkenaan.
Kate Cunningham, 38, menukar namanya kepada Elder apabila dia 'bersatu' dengan pokok tertua di Rimrose Valley Country Park di Sefton, Merseyside pada September tahun lalu.
Bekas guru itu berkata, mengahwini pokok itu adalah keputusan terbaik dalam hidupnya biarpun seorang daripada anaknya berusia 15 tahun malu dengan tindakannya.
"Pokok ini akan tetap menjadi keutamaan saya. Pokok membuatkan kita tetap hidup.
"Ia membuatkan saya rasa lebih yakin dengan diri sendiri. Saya tak peduli apa orang lain hendak kata.
"Berkahwin dengan pokok memberikan saya tujuan baharu," katanya seperti dipetik dalam portal Daily Mirror.
Katanya, dia mendapat inspirasi berkahwin dengan pokok selepas mencontohi tindakan seorang aktivis wanita di Mexico untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pembalakan dan pembukaan tanah haram.
"Saya berharap taktik sama akan menyelamatkan Rimrose Valley Country Park diubah menjadi lebuh raya," katanya.
-DailyMirror