Buka parti kepada bukan Melayu, 70% ahli Bersatu beralih sokongan kepada Tun Mahathir -Mukhriz
PUTRAJAYA: Bekas Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Mukhriz Mahathir mendakwa kira-kira 70 peratus ahli parti itu beralih sokongan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau yang dalam proses menubuhkan Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), berkata ramai ahli parti itu tidak berpuas hati dengan usul BERSATU mahu melantik bukan Melayu ke jawatan khas.
"Ketidakpuasan hati mereka itu digambarkan apabila ada perwakilan yang hadir menjerit-jerit kerana tidak bersetuju dengan perkara yang tidak sewajarnya berlaku dalam BERSATU.
"Cuba bayangkan apa akan berlaku kalau Presiden BERSATU (Tan Sri Muhyiddin Yassin) yang sekarang ini nyatakan dia nak buka keahliannya kepada bukan Melayu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sidang media bersama Dr Mahathir, di sini, hari ini.
Mukhriz mendakwa, banyak lagi perkara yang dicadangkan di kepemimpinan tertinggi BERSATU ditentang oleh ahli.
Dalam pada itu, ditanya mungkin permohonan PEJUANG akan ditolak oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), Mukhriz tidak menolak kemungkinan itu.
Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya sudah mendapat maklum balas daripada ROS bahawa permohonan itu akan diluluskan, jika tidak mempunyai sebarang masalah.
"Biasalah ada macam-macam proses kelulusan. Jika ia berlaku (permohanan ditolak), ia jelas menunjukkan kerajaan hari ini takut dan tidak berani," katanya.
-BHonline