Guan Eng didakwa lupus harta milik Kerajaan Negeri bernilai RM208.7 juta kepada Zenith
Bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng hari ini didakwa atas dua pertuduhan berkaitan pelupusan harta milik kerajaan negeri kepada syarikat pemaju ketika memegang jawatan itu.
Kedua-dua pertuduhan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan iaitu berkenaan kesalahan "secara tidak jujur menyalahgunakan, atau menjadikan bagi kegunaannya sendiri, atau menyebabkan mana-mana orang melupuskan apa-apa harta".
Menurut pertuduhan pertama, Lim pada 17 Februari 2015 didakwa "dengan curangnya" menyebabkan Pendaftar Hakmilik Tanah Pulau Pinang melupuskan harta milik kerajaan negeri, iaitu Lot Tanah No. H.S.(D) 18801, No. PT Lot 702 Seksyen 1, Bandar Tanjong Pinang, Daerah Timor Laut, Negeri Pulau Pinang yang bernilai kira-kira RM135 juta kepada Ewein Zenith Sdn Bhd.
Menurut pertuduhan kedua pula, dia pada 22 Mac 2017 didakwa melakukan perkara sama bagi Lot Tanah No. H.S.(D) 19318, No. PT Lot 10012 yang bernilai kira-kira RM73.7 juta, juga di Bandar Tanjong Pinang, kepada Zenith Urban Development Sdn Bhd.
Jika sabit kesalahan, Lim yang juga bekas menteri kewangan boleh dihukum penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun, denda dan sebatan.
Dia mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan di atas dua dakwaan tersebut.
Pertuduhan dibacakan di depan hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid.
Pendakwaan diwakili DPP Wan Shaharuddin Wan Ladin, Francine Cheryl A/P Rajendram and Selvaranjini A/P Selvaraja, manakala peguam Gobind Singh Deo dan Ramkarpal Singh mewakili Lim.
Ketika ditemui di luar mahkamah, Wan Shaharuddin berkata pertuduan terhadap Lim hari ini adalah "ibu kepada segala pertuduhan".
Menurutnya, pertuduhan hari ini berkaitan dengan dua pendakwaan terhadap Lim berhubung projek bernilai RM6.3 bilion itu, yang dibuat bulan lalu.
"Kita sudah dapat kepala, badan, (kali ini) kita nak ekor dia pula. Ini ekor dialah.
Ditanya berkenaan peluang untuk menang dalam kes itu, Wan Shahruddin berkata: Dasar kami di AGC (Pejabat Peguam Negara) adalah kami hanya akan buat pertuduhan yang ada 99 peratus peluang untuk menang.
"Satu peratus lagi act of God. Kita tak boleh kata ada 100 peratus peluang untuk menang," katanya lagi.
Pihak pendakwaan akan memanggil 10 saksi bagi kes ini.
-MalaysiaKini