Kedai makan dan serbaneka kini dibenar buka hingga jam 2 pagi
Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa waktu operasi kedai makan dan kedai serbaneka dilanjutkan sehingga jam 2 pagi, berbanding hanya sehingga jam 12 tengah malam sahaja, sebelum ini.
Katanya, keputusan itu dicapai pada mesyuarat khas hari ini selepas menerima banyak aduan pemilik premis yang pendapatan mereka terjejas kerana waktu operasi terhad.
"Ramai yang mengadu terutama sekali di kawasan pelancongan seperti Langkawi. Mereka terpaksa tutup tengah malam dan sebab tiada persembahan hiburan, mereka hanya boleh makan.
"Operator ini tanya kami jika mereka boleh lanjutkan waktu operasi dan kami setuju. Bagaimanapun, ini bukan hanya untuk Langkawi sahaja tetapi kawasan lain juga," katanya pada sidang media, hari ini.
Sebelum ini, semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan bermula Mac lalu, kedai makan hanya boleh menjual makanan secara bawa pulang dan pelanggan tidak dibenar menjamu selera di premis berkenaan.
Namun, apabila, PKP pemulihan dikuatkuasakan pada Jun, kedai makan dan serbaneka dibenarkan beroperasi sehingga 12 tengah malam.
Selain itu, Ismail Sabri juga berkata, mesyuarat khas hari ini juga bersetuju membenarkan warga asing beribadat di rumah ibadat dengan syarat mematuhi SOP ditetapkan sebelum ini.
"Mesyuarat khas sebelum ini telah bersetuju untuk membenarkan warganegara asing untuk menjalankan ibadat di masjid.
"Mesyuarat khas hari ini bersetuju untuk membenarkan warganegara asing untuk menjalankan ibadat di rumah-rumah ibadat agama lain dengan syarat mematuhi SOP yang ditetapkan sebelum ini," katanya. -MalaysiaKini