Latheefa Koya pertahan penggunaan Bahasa Mandarin dalam portal rasmi SPRM
PUTRAJAYA: Versi bahasa Mandarin dalam portal rasmi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bukan baru diwujudkan, tetapi diaktifkan semula dengan beberapa pembaharuan serta penambahbaikan.
Bekas ketua pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya berkata, tidak menjadi kesalahan sekiranya SPRM menawarkan kemudahan bahasa Mandarin di portal rasmi suruhanjaya itu dengan tujuan memberi pemahaman yang lebih jelas tentang isu rasuah.
Menurutnya lagi sistem keadilan di negara ini, sama ada di mahkamah, balai polis atau penjara juga menawarkan kemudahan penterjemahan dalam bahasa lain, selain bahasa kebangsaan.
“Kesedaran tentang gejala rasuah adalah sangat penting untuk difahami oleh semua lapisan masyarakat dan tidak boleh dihentikan,” kata Latheefa, serta menambah bahawa isu memartabat bahasa Melayu tidak wajar dicampuradukkan dengan isu penggunaan bahasa lain untuk kemudahan pemahaman.
SPRM baru-baru ini memaklumkan portal dalam bahasa Mandarin diaktifkan semula bagi memenuhi keperluan masyarakat Cina mendapatkan maklumat tentang pencegahan rasuah dan perkara berkaitan suruhanjaya tersebut.
Shamshun Baharin Mohd Jamil |
“Versi bahasa Mandarin sebelum ini tidak dikemas kini dan ditutup pada 2018.
“Sekarang kami aktifkan semua sebab ada pegawai yang boleh mengendalikannya… mungkin versi bahasa Tamil akan dibuat juga jika ada peruntukan yang cukup,” katanya berhubung reaksi pelbagai pihak mengenai versi bahasa Mandarin di portal SPRM itu.
Hari ini, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menerusi ketua Pemudanya Nasrul Ali Hassan Abdul Latif menghantar surat kepada SPRM bagi membantah penggunaan bahasa Mandarin dalam portal rasmi suruhanjaya itu.
Shamshun Baharin menegaskan SPRM meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam portal rasminya walaupun terdapat bahasa lain sebagai pilihan.
Beliau juga menegaskan SPRM tidak pernah membelakangkan Perkara 152 perlembagaan persekutuan iaitu kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan sentiasa mematuhi Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67.
“Tidak timbul isu tidak mematuhi Perkara 152 perlembagaan persekutuan kerana versi bahasa Melayu masih diguna pakai sebagai bahasa utama di portal rasmi SPRM,” katanya.
Shamsun Baharin berkata, kepelbagaian bahasa yang digunakan adalah bertujuan untuk memastikan matlamat menyebarluaskan mesej antirasuah serta memberi kefahaman tentang kepentingan pencegahan rasuah tercapai.
Menurutnya, risalah pencegahan rasuah juga dibuat dalam 4 bahasa iaitu Melayu, Mandarin, Inggeris dan Tamil khusus untuk memberi pemahaman yang lebih kepada masyarakat.
“Selagi kami meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dan lain-lain bahasa sebagai pilihan, ia tidak menjadi kesalahan,” katanya. -FMT