Menteri Wilayah arah papan iklan guna bahasa Mandarin diturunkan
Papan iklan di Kuala Lumpur mesti menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa utama, dengan bahasa lain dibenarkan sebagai sub-teks, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa.
Beliau berkata demikian selepas sebuah papan iklan yang menggunakan bahasa Mandarin sebagai bahasa utama diturunkan semalam.
Menurut Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), syarikat itu pada awalnya mengemukakan iklan dalam bahasa Melayu sebagai bahasa utama sebelum diluluskan untuk pemasangan.
DBKL berkata syarikat itu kemudian menggunakan papan iklan berbahasa Cina, namun menurunkan sendiri papan tersebut selepas menyedari "kesalahan" mereka.
Billboard ini telah di turunkan..semua papan iklan diWP mesti mendaulatkan BAHASA KEBANGSAAN..Bahasa Jiwa Bangsa pic.twitter.com/fcxEYj0kPl— Annuar Musa (@AnnuarMusa) September 5, 2020
Mengulas mengenai isu tersebut, Annuar berkata bahasa lain dibenarkan di papan iklan tetapi mesti lebih kecil daripada teks bahasa Melayu.
Semalam, beliau berkata papan iklan di ibu negara mesti "memperkasakan" bahasa Melayu.
Begitu juga, Naib Ketua Pemuda MCA Chua Hock Kuan yang berkata beliau telah diberi jaminan oleh DBKL bahawa iklan dwibahasa tidak menjadi masalah.
"Bagaimanapun, Bahasa Malaysia mesti menjadi bahasa utama, untuk menghormati statusnya sebagai bahasa rasmi negara," kata Chua dalam satu kenyataan.
Iklan bertulisan Mandarin telah diturunkan setelah aduan orang ramai |
Papan iklan mesti menggunakan BAHASA KEBANGSAAN sbg Bahasa Utama.Bahasa lain boleh digunakan,tetapi hendaklah lebih kecil dari tulisan dlm Bahasa Kebangsaan.Tatabahasa hendaklah spt di luluskan DBP.PBT meluluskan permit tempat mengikut syarat syarat tertentu..— Annuar Musa (@AnnuarMusa) September 6, 2020