PRN Sabah: Main sentimen anti-Malaya, Azmin dakwa Shafie celupar dan kurang hajar
SABAH: Azmin Ali dalam ucapannya menempelak Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal yang menurutnya mempermainkan sentimen anti-Malaya menerusi slogan “Sabah for Sabahan” (Sabah untuk orang Sabah) dengan menyeru pengundi menolak parti dari semenanjung.
Sedangkan, katanya lagi, Shafie sendiri bekas naib presiden Umno dan malah tiga pemimpin Warisan mendapat tempat sebagai menteri persekutuan semasa era PH.
Berkempen untuk calon Bersatu bagi DUN Merotai Mohamad Jalani Chachu, Azmin mengingatkan pengundi untuk memilih Jalani yang disifatkan seperti wakil perdana menteri di Merotai untuk menyelesaikan masalah mereka.
“Kalau tuan-tuan ada masalah...dia (Jalani) boleh angkat angkat telefon (dan kata) ‘Tan Sri (Muhyiddin) , kita perlu beberapa projek infrastruktur di Merotai. Insya-Allah, perdana menteri pasti akan memberikan kebenaran,” katanya kepada pemberita dalam Program Majlis Sentuhan Mesra Warga DUN Merotai di Bilik Gerakan Utama PN di Merotai.
Ketika hari mengundi kurang dua hari lagi, Azmin turut meminta hadirin agar menghubungi 100 kenalan mereka dan merayu untuk menyokong Perikatan Nasional.
“Kalau seorang dapat hubungi 100 kenalan, inilah cara untuk menyumbang kepada pembangunan dan pembentukan sebuah kerajaan baru di negeri Sabah.
“Hubungi mereka, jelaskan dan rayu kepada mereka, supaya pada 26 hari bulan ini, kita bentuk kerajaan baru PN dan BN di Sabah”.
Azmin turut membangkitkan kenyataan bekas menteri Warisan, Mohamaddin Ketapi berkaitan insiden pencerobohan di Tandou, Lahad Datu, Sabah pada 2013 agar pengundi menolak parti itu dalam PRN kali ini.
“Warisan celupar dan kurang ajar, menghina pasukan keselamatan negara kita. Kita bertanggungjawab sebagai rakyat negeri Sabah, buktikan jangan pijak maruah kita sebagai rakyat Sabah," katanya lagi.
Sebelum ini, Mohammadin mengeluarkan kenyataan yang didakwa menghina pengorbanan anggota tentera dan polis, membawa kepada kecaman banyak pihak - terutama pembangkang di Sabah ketika kempen - serta laporan polis terhadapnya.
Mohammadin dan Shafie sudah pun memohon maaf atas kenyataan itu. -MalaysiaKini