KOTA KINABALU: Parti Cinta Sabah yang diketuai Anifah Aman, bekas menteri dan juga adik kepada bekas ketua menteri Musa Aman, mengumumkan ia akan bertanding 70 daripada 73 kerusi pada pilihan raya negeri.
Anifah, yang merupakan presiden parti, akan bertanding di Bongawan. Beliau dijangka bertembung dengan calon Warisan dan Umno.
PCS, yang sebelum ini dikenali sebagai parti etnik Kadazan-Dusun-Murut, kini tampil sebagai wadah berbilang kaum.
Ia sebelum ini diketuai bekas timbalan ketua menteri, Wilfred Bumburing.
Dalam perkembangan berkaitan, BN yang bertanding menggunakan logo sendiri hari ini mengumumkan akan meletakkan calon di 31 kerusi DUN, manakala sekutunya dalam Perikatan Nasional (PN) dijangka bertanding di 20 kerusi DUN.
Parti Warisan Sabah (Warisan) dan UPKO hari ini turut mengumumkan akan bertanding di 58 kerusi DUN, sementara DAP akan bertanding di 7 kerusi menggunakan logo Warisan.
PKR yang turut bersekutu dengan Warisan sebelum ini mengumumkan mahu bertanding di 14 kerusi DUN, bagaimana pun hanya diperuntukan sebanyak tujuh kerusi DUN sahaja dan akan bertanding menggunakan logo sendiri. – FMT / SuaraTV