TUARAN: Hadirin ceramah di Pantai Dalit menyambut ketibaan bekas perdana menteri Najib Razak pada hari kelapan kempen pilihan raya negeri Sabah dengan sorakan dan tarian.
Gabungan jentera kempen BN Najib dan Ketua BN Sabah, Bung Moktar Radin berjaya menarik lebih daripada 4000 penyokong dan pengundi.
Ini berlaku walaupun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengehadkan 250 orang hadirin bagi setiap program.
Pantai Dalit, kerusi DUN yang baru dibuat dengan 60 peratus bumiputera Muslim, adalah satu daripada empat kerusi di parlimen Tuaran yang merupakan kubu kuat BN.
Calon BN, Jasnih Daya berdepan pertarungan lapan penjuru di kerusi itu menentang antara lain Rakam Sijim dari Warisan.
Puluhan anggota Warisan dan LDP alih sokongan
Ceramah itu juga menyaksikan puluhan anggota Warisan dan LDP yang memakai T-shirt BN sebagai tanda beralih sokongan.
Tindakan keluar parti secara besar-besaran telah menjadi fenomena dalam kempen yang sedang berlangsung.
Rafael Idris, seorang individu yang mengaku sebagai laskar siber Warisan muncul dengan bangga mengatakan bahawa dia membuat pilihan yang tepat dengan bergabung dengan Umno.
"Saya adalah bekas setiausaha politik menteri pendidikan negeri. Saya adalah ketua penerangan Warisan Sepitang.
"Selama ni kami telah sokong Warisan dengan slogan, tapi hari ni saya pohon maaf dengan tuan sebab kita salah ubah, kita kena ubah balik," katanya, merujuk kepada seruan Warisan untuk menolak BN pada pilihan raya 2018.
Tanpa memberikan perincian, dia kemudian berjanji untuk mendedahkan lebih banyak "pembohongan" Warisan.
Rafael malah menggelar Bung sebagai bakal ketua menteri Sabah.
Sementara itu, dalam ucapannya, Najib menggambarkan bagaimana sokongan pengundi di Pantai Dalit dapat membawa kepada kemenangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
"Saya di sini kerana saya diberitahu tentang peluang cerah untuk memenangi kerusi itu. Kemenangan calon kita dapat memberi kita satu kerusi dan membawa kepada pembentukan kerajaan baru.
"Kita memerlukan kerajaan negeri baru kerana kerajaan sekarang penuh dengan pembohongan," katanya.
Kata Najib, GRS akan membangunkan Sabah sebagai sebuah negeri yang setanding dengan negeri di semenanjung.
Najib juga mengatakan bagaimana Sabah pernah mencapai pertumbuhan ekonomi sebanyak lapan peratus semasa beliau menjadi perdana menteri tetapi jatuh kepada hanya 0.5 peratus pada 2019 setelah Warisan mengambil alih.
Rakyat, katanya, mula merindui BN sehingga membawa kemenangan BN dalam tujuh pilihan raya kecil.
Pada minggu pertama kempen, Najib menumpukan kempen pada pantai timur dan dia baru tiba di pantai barat pada hari semalam.
Ada yang datang dari jauh. Ada yang keluar rumah awal-awal sudah tunggu di sini. Ada yang muda, ada juga warga...
Posted by Najib Razak on Saturday, 19 September 2020