SHAH ALAM - Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Afdal masih calon Perdana Menteri blok pembangkang walaupun gagal mempertahankan kerajaannya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah semalam.
Pengerusi Penaja Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Ahli Parlimen Semporna itu tetap akan dinamakan sebagai calon Perdana Menteri jika mereka menang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.
"Dia masih (salah) satu dari calon,” katanya seperti dilaporkan portal berita, The Malaysian Insight (TMI) hari ini.
Kecewa dengan rakyat Sabah
Diminta mengulas mengenai kekalahan Warisan, Ahli Parlimen Langkawi itu kecewa kerana beliau berharap pengundi di Sabah akan menolak Perikatan Nasional (PN) dan sekutunya.
"(Sudah tentu) saya kecewa. Saya harap rakyat Sabah menolak orang yang menggunakan cara tidak betul untuk ambil alih kerajaan.
"Mereka dengan sengaja meruntuhkan kerajaan dengan membayar ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) untuk lompat (tinggalkan parti).
"Kalau ini jadi satu amalan di Malaysia, tamatlah demokrasi kerana mereka yang ada duit boleh beli mana-mana kerajaan," katanya.
Bagaimanapun, bekas Perdana Menteri itu tetap mengucapkan tahniah kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan berharap keputusan itu akan membawa ke arah kestabilan negeri itu.
"Saya ucap tahniah pada mereka yang menang (PRN Sabah). Saya harap dengan ini keadaan di Sabah akan jadi lebih stabil dan tiada lagi percubaan untuk rampas kerajaan,” katanya.
BACA: Mesyuarat tergempar Anwar dan PH, Khalid Samad, Mat Sabu lari tinggalkan media
-Sinar