Covid-19: Tak catit nama, 12 individu terima padah
Kuantan: Dua belas individu dikompaun kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sebuah pusat snuker di Jaya Gading di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, kompaun itu dikeluarkan atas kesalahan tidak mencatat nama ketika berada di premis terbabit.
Katanya, kesemua lelaki berumur 17 hingga 23 tahun itu masing-masing dikompaun RM1,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) PKPP.
"Ketika ditahan, 12 lelaki yang berada di pusat snuker bukannya melakukan kesalahan tidak memakai pelitup muka tetapi atas kesalahan tidak mencatat nama selain buku catatan juga tidak disediakan.
"Bagi pihak polis, kita akan mengesyorkan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menarik balik lesen kerana pengusaha pusat snuker terbabit gagal mematuhi arahan ditetapkan.
"Pengusaha terbabit sengaja tidak mematuhinya kerana semua pihak sedia maklum bahawa mereka perlu mengambil butiran bagi pelanggan yang memasuki premis," katanya.
Mohamad Noor berkata demikian kepada media selepas melakukan pemantauan SOP PKPP di premis perniagaan dan sekolah di daerah ini hari ini.
Mengulas pematuhan SOP PKPP yang ditetapkan kerajaan, beliau berpuas hati dengan komitmen pemilik premis dan pelanggan daripada segi pengambilan butiran pada buku catatan.
Bagaimanapun, katanya, pemilik premis diminta menambah baik daripada segi butiran pelanggan untuk memastikan nama dan nombor telefon dapat dibaca dengan jelas.
"Langkah itu bagi memudahkan pihak berkuasa mengesan individu yang datang ke premis sekiranya berlaku kes penularan Covid-19," katanya.
-MyMetro