Komuniti "makhluk asing" di Denmark jadi tumpuan
Di pinggir bandar Kopenhagen terdapat satu kawasan yang mempunyai pemandangan yang amat aneh dan menjadi tumpuan. Ia semestinya akan menimbulkan tanda tanya bagi sesiapa yang baru pertama kali melalui kawasan tersebut.
Ia mempunyai beberapa kumpulan rumah-rumah yang tersusun di dalam bulatan-bulatan yang dipenuhi tumbuhan hijau seolah-olah seperti penempatan komuniti makhluk asing yang mempunyai corak-corak aneh seperti yang ditemui di beberapa tempat di Amerika Syarikat yang dikenali sebagai "Crop Circle".
Salah satu "Crop Circle" yang didakwa dihasilkan oleh makhluk asing |
Kawasan tersebut dikenali sebagai Garden City yang terletak di Brondby Haveby, Denmark.
Seorang jurugambar Hendry Do, telah mengambil beberapa foto yang menunjukkan betapa uniknya kawasan perumahan tersebut, dengan cahaya matahari yang hangat menyinari lanskap hijau yang indah menghasilkan pemandangan yang memukau.
Foto drone yang diambil oleh jurugambar © Henry Do |
Foto drone yang diambil oleh jurugambar © Henry Do |
"Saya sama sekali tidak merancang untuk mengambil foto tempat ini, ini berlaku secara kebetulan. Semasa saya mengunjungi ibu negara Denmark bersama isteri dan bertemu dengan beberapa warganegara Denmark yang berminat dengan fotografi. Mereka memberitahu saya untuk pergi ke Brøndby Haveby"
"Saya tidak kecewa! Ia sangat unik, ianya seperti pizza dengan setiap keping sebagai rumah! "ujar Henry
Menurut Henry, reka bentuknya berdasarkan susun atur perkampungan Skandinavia yang berasal dari abad ke-10. Pada tahun 1964, perbandaran Brondby bersetuju menetapkan kawasan rizab untuk dibinakan "Garden City".
Erik Mygind |
Arkitek landskap, Erik Mygind telah mengilhamkan rekabentuk bulat sebagai cara untuk memenuhi citarasa masyarakat.
Rumah-rumah di situ biasanya disewakan antara bulan April dan Oktober oleh penduduk kota yang ingin merasai kehidupan di desa.
Semasa awal perancangan, Erik mahu taman itu dibahagikan kepada beberapa bentuk bulat. Menurutnya bentuk bulat itu melambangkan sebuah kampung lama di mana orang-orang kampung akan bertemu di perigi yang terletak di tengah-tengah bulatan.
Dengan melakukan rekabentuk sebegini, dia yakin bahawa interaksi sosial akan berkembang dan ia akan mewujudkan suatu masyarakat yang sejahtera.
Menarik kan? Agaknya kalau di Malaysia, di mana lokasi yang sesuai untuk membina Garden City seperti ini?
-TunCarlos/LonelyPlanet