Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Macau Scam: Peniaga Perabot pula rugi RM93 ribu, begini cara dia ditipu


KUANTAN: 6 Okt. - Seorang peniaga perabot di Rompin kerugian lebih RM93,000 selepas terpedaya dengan sindiket Macau Scam dalam kejadian yang bermula sejak pertengahan bulan lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata wanita berusia 40 tahun itu mendakwa dirinya dikatakan terlibat dalam pengubahan wang haram selepas menerima panggilan daripada seorang individu yang mengaku kakitangan pejabat pos pada 21 Sept lalu.

"Suspek memberitahu identiti mangsa mungkin disalah guna oleh pihak lain dan menyambungkan panggilan itu kepada seorang lelaki yang mengaku anggota polis.

"Suspek kedua kemudian memberitahu mangsa kononnya nama mangsa ada dalam siasatan kes pengubahan wang haram selain ada waran tangkap. Mangsa kemudian diminta berhubung dengan seorang lagi individu yang mengaku pegawai polis.


"Suspek yang mengaku sebagai Inspektor Baharun meminta mangsa mengeluarkan wang dan memasukkan dalam satu akaun yang diberikan suspek kerana akaun mangsa akan dibekukan untuk siasatan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata suspek turut meminta pengadu merahsiakan perkara tersebut hingga keputusan daripada pihak audit sama ada wangnya terlibat dalam pengubahan wang haram atau tidak diperoleh.

Supt Mohd Wazir Mohd Yusof

Beliau berkata pada 28 Sept, mangsa dihubungi seorang lelaki kononnya daripada bahagian audit yang meminta RM20,000 sebagai jaminan ke atas akaun bank sebelum menyedari wang dalam akaunnya cuma berbaki RM80.63 pada Sabtu lepas.

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin di sini semalam dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan, katanya.

-Malaysian Insight